Seorang ahli parlimen PKR kesal dengan apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran ke atas amalan demokrasi berparlimen semasa krisis menteri besar Johor.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang jelas merujuk kepada apa yang berlaku ke atas bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad, berkata rakyat telah memberi mandat besar kepada pengerusi Umno Johor itu untuk terus menerajui kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kejayaan Hasni memimpin BN meraih kemenangan lebih dua pertiga, namun pihak istana telah memilih untuk melantik seorang menteri besar yang bukan pilihan majoriti rakyat.
“Ini jelas bermakna calon menteri besar pilihan rakyat ditolak oleh pihak Istana.
“Hal kejadian ini amat malang kerana nyata sekali suatu pelanggaran telah berlaku ke atas amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi tanahair kita, Malaysia,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
BN telah berkempen dengan jaminan Hasni akan kembali untuk penggal kedua jika gabungan itu memenangi pilihan raya Johor pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, walaupun mendapat sokongan 38 daripada 40 ahli parlimen BN, pelantikan semula Hasni sebagai menteri besar tidak menjadi kenyataan kerana halangan yang tidak dijangka daripada apa yang menurut sumber sebagai "kuasa lebih tinggi".
Kuasa yang lebih tinggi itu dilaporkan memilih Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi untuk mengambil alih, dan Hasni terpaksa mengalah.
Onn Hafiz - adalah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar - mengangkat sumpah sebagai menteri besar semalam.