Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi DAP Tan Kok Wai menafikan Pakatan Harapan (PH) mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, seperti yang didakwa oleh bekas ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam.

Tan (atas) memberitahu Malaysiakini bahawa adalah mustahil untuk PH bekerjasama dengan PN.

“Sama sekali tiada perkara seperti itu. Saya tidak tahu di mana (Rafizi) dengar tentang perkara ini.

"Tidak perlu untuk PH meneroka kemungkinan seperti itu," kata ahli parlimen Cheras itu.

Kata Tan lagi, Bersatu yang merupakan ahli utama PN mengkhianati PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan, manakala PAS mempromosikan ekstremisme agama.

“Bagaimana kita hendak bekerjasama dengan mereka?” soalnya.

Pendekatan 'khemah besar'

Selepas kekalahan teruk PH di Johor, gesaan untuk pendekatan “khemah besar” bagi menyatukan parti pembangkang muncul semula, dengan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mencadangkan untuk mempunyai kelonggaran dalam rundingan dengan parti pembangkang lain, termasuk PN.

Ong mencadangkan PH dan PN mengadakan perbincangan tidak rasmi bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru di kerusi dengan penyandang pembangkang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulangi pendekatan "khemah besar" tetapi tidak bersetuju untuk memasukkan PN dalam perbincangan.

Dalam perkara berkaitan, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menegaskan bahawa PN bukan sebahagian daripada pembangkang.

“Sebarang keputusan, kita akan berbincang dengan semua parti pembangkang untuk mencapai kata sepakat. Tetapi PN bukan pembangkang. Mereka adalah kerajaan,” kata Salahuddin.

Rafizi semalam mendakwa majlis presiden PH bersetuju membincangkan kemungkinan bekerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS