Paling Popular
Terkini

ULASAN | Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang akan bermula esok bukan saja hadir dengan semangat baru, tetapi bakal dihangatkan dengan isu calon menteri besar Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Umno memang berhak untuk bermegah semasa berhimpun nanti. Hal itu kerana Umno berkumpul selepas mencatat kemenangan bergaya dalam siri pilihan raya negeri (PRN).

Terbaru ialah di Johor yang menyaksikan Umno-BN berjaya menguasai dua per tiga dewan undangan negeri (DUN) berkenaan.

Pun begitu ketika Umno terpaksa 'bergelut' untuk menobatkan salah seorang Adun mereka sebagai menteri besar yang baru.

Bermula dengan nama Hasni Mohammad, akhirnya Onn Hafiz Ghazi yang menjadi pilihan istana. Maka terpahatlah nama Adun Machap itu sebagai menteri besar ke-19 Johor.

Di sebalik penguasaan majoriti mutlak dalam DUN Johor, riak dan gelombang dalam Umno tetap ada.

Malam tadi Shahrir Samad secara terbuka menyuarakan kekecewaannya apabila poster boy BN, Hasni Mohammad, belum lagi mengangkat sumpah.

Menjelang hari pengundian pada 12 Mac lalu hanya Hasni itu sajalah nama yang diangkat dan dijaja Umno sebagai calon menteri besar yang baru.

Namun selepas kembali kukuh di DUN Johor, Hasni masihlah Hasni yang sama.

Cara layanan untuk PM

Pada masa sama PAU 2021 ini juga diyakini bakal bergema dengan desakan agar Ismail Sabri Yaakob membuka jalan agar parlimen dibubarkan, sekali gus membolehkan PRU ke-15 diadakan.

Dapat difahami mengapa ada pihak dalam Umno mahu PRU segera diadakan. Di sana ada sebab-sebab tersurat, dan ada juga alasan tersirat.

Sebab tersurat ialah, Umno mahu memanfaatkan momentum kemenangan yang sedang kuat sekarang untuk mendorong parti mendapatkan sokongan rakyat.

Adapun sebab-sebab tersirat pula terbuka untuk tafsiran masing-masing.

Ketika ini kerajaan berada dalam keadaan agak unik apabila perdana menterinya bukan terdiri daripada pemimpin tertinggi parti. Dalam konteks ini, presiden Umno.

Ismail Sabri hanyalah naib presiden kepada partinya. Mengikut hierarki di atas Ismail Sabri ada dua lagi pemimpin yang lebih kanan, iaitu Mohamad Hasan selaku timbalan presiden, dan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden.

Cakap-cakap orang awam mengenai cara layanan Umno kepada Ismail Sabri semakin kuat kendengaran khususnya sebaik saja parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada malam 12 Mac lalu.

Dijangka dapat desakan

Pun begitu nampaknya tanah Johor tidak menyediakan hamparan yang indah dan nyaman seperti yang diharapkan. Setakat ini Umno berdepan aib yang tersendiri apabila calon yang mereka kemukakan belum mendapat perkenan istana.

Justeru rasa malu yang amat besar dialami Shahrir itu dapatlah difahami dan dihayati orang ramai. Bak kata veteran Umno yang disegani lagi berpengaruh itu, semasa berkempen baru-baru ini, dia mentertawakan parti lain kerana gagal menamakan calon menteri besar.

Umno pada masa sama menawarkan Hasni sebagai ketua kerajaan.

Tiba-tiba selepas mendapat kepercayaan majoriti daripada 54.92 peratus (1.42 juta) pengundi Johor yang keluar pada Sabtu lalu Umno masih terkial-kial untuk menaikkan menteri besarnya.

Dari satu sisi, ia adalah suatu kegagalan Umno melaksanakan aku janji mereka kepada pengundi.

Pun begitu dari sisi lain, mungkin situasi di Johor sedikit sebanyak boleh meredakan sedikit tekanan yang mungkin akan dihadapi Ismail Sabri yang memang dijangka akan didesak untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen.

Selain itu, hubungan kerjasama di antara parti itu dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) juga dijangka akan memanaskan PAU 2021 nanti.

Hubungan dingin membabitkan kedua-dua parti itu bukan lagi rahsia. Walaupun MN itu dibidankan dengan linangan air mata, kecaman dan kritikan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti akhir-akhir ini memang ketara.

Undi18 juga jadi perhatian

Ia seolah-olah kedua-dua parti itu tidak pernah duduk semeja, berdakap-dakapan dan menandatangani piagam bersama.

Perlu diakui ada sebahagian daripada ahli Umno masih sayangkan MN. Sama halnya dengan PAS.

Namun, diyakini majoriti ahli Umno sudah muak semula dengan gelagat PAS yang bermain 'dua kolam' dalam langkah politik mereka dan itu dilihat sebagai sangat oportunis.

Keadaan itu berlaku ketika luka yang mendalam dan bertahun-tahun lama membarah dalam jiwa ahli kedua-dua parti belum sempat disembuhkan oleh MN yang belum sempat menjadi remaja.

Justeru tidaklah mustahil jika PAU kali ini membawa dan membahaskan usul untuk parti itu memutuskan hubungan yang terjalin di antara mereka dengan PAS.

Jika ia berlaku, ketetapan tersebut bukanlah mengejutkan, apa lagi menyulitkan. Dalam keadaan sekarang, usul berkenaan - jika ada - hanyalah menjadi nisan petanda kepada sebuah kubur yang belum bernama.

Selain itu, Undi18 yang mula dilaksanakan dalam PRN Johor juga mungkin akan menjadi salah satu agenda utama PAU kali ini.

Bagaimana penerima pengundi muda dan bagaimana untuk menarik sokongan kumpulan ini pastinya menjadi perbahasan para perwakilan.

Namun yang pastinya, PAU 2021 diadakan dalam mood yang berbeza selepas melalui kemenangan manis berbanding sewaktu di awal Umno menjadi pembangkang.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS