Pemilihan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor adalah selaras dengan undang-undang tubuh negeri yang mana ia di bawah peranan sultan di sebuah negeri, kata pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Bagaimanapun, peguam itu berpendapat kedudukan Onn Hafiz masih boleh dicabar melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini, katanya jika benar pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu tidak mendapat sokongan majoriti Adun BN.
"Apa yang berlaku di Johor hari ini adalah betul dari segi undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor.
“Pengundi hanya memilih parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri. Setakat itu sahaja.
"Apabila kerajaan negeri telah terbentuk ( melalui perkiraan parti mana yang memperolehi majoriti dalam DUN) maka selanjutnya peranan sultan negeri berkenaan pula untuk melantik menteri besar,” katanya pada satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Azam (gambar, bawah) “hanya ada satu syarat” sahaja yang perlu diteliti Sultan Johor dalam memilih menteri besarnya.
“Orang yang baginda nak lantik sebagai menteri besar itu mestilah seorang Adun yang pada pendapat baginda, si polan berkenaan akan memperolehi sokongan majoriti Adun lain sebagai menteri besar.
"Maka buat masa ini, baginda berpendapat, si Onn yang boleh mendapat sokongan majoriti Adun Johor," jelasnya.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru petang tadi.
Adun Johor berani atau tidak?
Majlis angkat sumpah menteri besar Johor ke-19 itu diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Onn Hafiz, 44, ialah piut kepada menteri besar Johor pertama Jaafar Muhamad.
Moyangnya pula pengasas Umno, Onn Jaafar yang juga bekas menteri besar ketujuh manakala datuknya perdana menteri ketiga Hussein Onn.
Sebelum itu, sebuah portal berita melaporkan pemimpin Umno mengemukakan 38 akaun bersumpah (SD) sokongan kepada Hasni Mohammad yang juga pengerusi Umno Johor sebagai menteri besar.
"Adun-Adun Johor boleh je mengundi tak percaya kepada Onn ni selepas ini.
“Jika itu berlaku, maka Onn akan kehilangan jawatan menteri besar beliau dan baginda perlu membuat lantikan menteri besar baru dengan syarat.
"Cuma berani atau tak Adun Johor mengundi tak percaya terhadap Onn? Itu isu lain.
“Kerana undi tak percaya terhadap Onn boleh dianggap tak suka kepada pilihan sultan," kata Azam lagi.