Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bunuh pesara polis: OKU lepas hukuman gantung kerana tak waras

Seorang lelaki bebas daripada hukuman gantung atas pertuduhan membunuh seorang pesara polis empat tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, memutuskan tertuduh tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh, Mohd Rozani Yahaya, 43, melakukan perbuatan itu sama seperti pertuduhan, namun dibebaskan kerana kurang waras dan tidak berupaya mengesahkan perbuatan sendiri pada waktu kejadian.

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

"Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh diletak dalam tahanan selamat di hospital berkenaan sehingga mendapat perintah daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Perbuatan tertuduh yang memukul mangsa dengan sebatang besi dan berlari ke sana ke sini sebelum menyembunyikan diri di dalam alor sungai tidak mencerminkan keadaan waras tertuduh," katanya Wan Ahmad Farid.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rozani didakwa membunuh Ab Halim Che Yusoff, 69, di tepi sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, Bunut Susu, Pasir Mas kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memaklumkan bahawa Mohd Rozani mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas memasuki wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Menurutnya, tertuduh juga telah dipersetujui oleh pihak hospital mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS