Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cari 'kemudi' yang bukan proksi, kata Exco Pemuda Umno
Diterbitkan:  Mar 15, 2022 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Seorang pemimpin Pemuda Umno Malaysia berpendapat bahawa partinya perlu mencari bakal menteri besar negeri Johor dari kalangan pemimpin yang direstui dan mendapat mandat parti, bukan yang merupakan proksi.

Exco Pemuda Umno Noor Azleen Ambros berkata demikian dalam catatan Facebook hari ini di tengah-tengah spekulasi bahawa Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad mungkin tidak dipilih sebagai menteri besar Johor.

"Mengemudi sesebuah negeri itu bukan kerja seorang diri. Sebuah negeri pula bukanlah boleh dikemudi oleh seorang diri.

"Kemudi yang dicari itu biarlah yang direstui dan mendapat mandat parti. Kemudi yang dicari itu pula mestilah seperti yang telah dijanji kepada pengundi.

"Penting untuk kemudi yang dicari itu mendapat sokongan parti. Agar mudah untuk mengemudi negeri di kemudian hari. Kalau boleh, kemudi yang dicari itu bukan proksi," katanya.

Semalam Hasni mengeluarkan kenyataan mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi, antara nama yang dispekulasikan akan dilantik sebagai menteri besar.

Veteran Umno dari Johor, Shahrir Samad berkata bahawa dia mungkin tidak akan muncul di Perhimpunan Agung Umno Rabu ini kerana malu ekoran ura-ura Johor akan mendapat seorang menteri besar yang baru.

Ia bertentangan dengan janji awal Umno-BN yang menamakan Adun Benut, Hasni, sebagai calon tunggal daripada gabungan berkenaan untuk diangkat sebagai menteri besar.

Hasni dilantik sebagai menteri besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

Dia merupakan menteri besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018 selepas Allahyarham Osman Sapian dan Dr Sahruddin Jamal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS