Rasa malu mendorong veteran Umno dari Johor, Shahrir Samad, mungkin tidak akan muncul di perhimpunan agung tahunan parti itu yang akan berlangsung mulai Rabu ini.
Rasa berat bekas ahli parlimen Johor Bahru itu hadir ekoran ura-ura Johor akan mendapat seorang menteri besar yang baru.
Ia bertentangan dengan janji awal Umno-BN yang menamakan Adun Benut, Hasni Mohammad, sebagai calon tunggal daripada gabungan berkenaan untuk diangkat sebagai menteri besar.
Bagaimanapun malam tadi Malaysiakini melaporkan Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, yang akan dilantik sebagai menteri besar.
Sebelum itu Hasni mengeluarkan kenyataan dengan mencadangkan pemimpin Umno agar memilih orang muda untuk memimpin Johor.
Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.
"Malu saya. Sepanjang kempen (PRN Johor lalu) saya ketawakan PN (Perikatan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai menteri besar.
"Umno (pula) sudah pasti dengan Dato Hasni sebagai menteri besar," kata Shahrir dalam kenyataan malam tadi.
Tak sehebat mana
Namun dengan khabar yang semakin bertiup kencang bahawa Hasni akan digantikan, Shahrir berkata, ia menunjukkan Umno Johor tidak mampu melakukan apa-apa walaupun memenangi PRN dengan penguasaan dua per tiga DUN.
"Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ni.
"Boleh dapat mandat rakyat, tapi (Umno) tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan.
"Taklah sehebat mana Umno Johor," katanya lagi.
Bekas menteri dan pengerusi Felda itu juga memberitahu, mengikut perancangan asal, dia akan berucap di perhimpunan agung nanti sebagai wakil Umno Johor.
Namun katanya dengan rasa aib yang ditanggung itu tidak ada apa-apa lagi yang mahu diucapkannya.
"Maaf kepada rakan-rakan.
"Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali dibawah kepimpinan Dato Hasni," katanya.