Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Melaka merancang untuk membina sebuah terowong dasar laut bagi rangkaian sistem rel yang menghubungkan negeri itu dan Dumai di Indonesia.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata mengikut perancangan, terowong itu akan dibina merentasi Selat Melaka.

"Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai ialah 47 kilometer," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia hari ini.

Mengulas perkara sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini, sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong itu.

Dia berkata bagaimanapun, projek itu memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.

"Firma dari Malaysia hanya mampu menampung 50 peratus daripada kos keseluruhan projek.

"Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan terowong itu akan mengambil masa empat ke lima tahun," katanya.

Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih tinggi bagi Melaka.

Ketika ini, ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS