Seluruh 42 buah kerusi yang disertai oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tewas teruk dalam pilihan raya negeri Johor 2022 ini, termasuk yang ditandingi saya di N17 Semerah.
Dalam konteks Malaysia, belum pernah ada mana-mana parti politik pembangkang mampu bertarung dan menyaingi lawan yang besar dan gagah secara bersendirian dalam pilihan raya.
Ini realiti yang pahit bagi semua ahli dan pimpinan parti. Namun realiti ini sangat berguna. Ia mengesahkan bahawa teori “pembangkang berpecah pembangkang tewas” kini menjadi kenyataan.
Kos untuk mengesahkan pendapat ini, agak tinggi.
Tuan puan,
Jumlah keseluruhan undi untuk calon Pejuang ibarat yang bertanding itu daripada calon bebas, bukan parti yang diasaskan oleh seorang tokoh besar negara.
Untuk menambah duka dan lara, Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) yang juga sebuah parti baharu, mendapat hampir 50,000 undi berbanding Pejuang yang hanya mendapat undi 18,000 lebih.
Inilah realiti yang harus diterima dengan lapang dada oleh semua ahli-ahli Pejuang kerana hajat sebenar Pejuang menyertai PRN Johor adalah sebagai persediaan ke arah PRU15.
PRN Johor ini juga adalah medan memperkenalkan parti, baik logo, calon dan dasar-dasar parti secara langsung dengan para pengundi dan media secara terbuka.
Walau bagaimana buruk sekalipun hasil PRN ini untuk Pejuang, jumlah undi yang diperoleh ini masih agak baik dan melebihi daripada jumlah ahli Pejuang di Johor.
Di Johor ketika ini, ahli-ahli Pejuang yang berdaftar sejak tujuh bulan lalu sekitar 7,000 orang dan undi yang diperoleh Pejuang secara keseluruhan di PRN Johor ini ialah 18,692.
Jika seratus peratus ahli Pejuang keluar mengundi, Pejuang seharusnya mendapat 7,000 undi. Namun demikian jumlah undi untuk Pejuang lebih 18,000.
Mungkin ada di kalangan undi oleh ahli Pejuang disertai dengan satu atau dua lagi ahli keluarga dan rakan yang turut mengundi untuk Pejuang.
Saya sendiri di DUNSemerah, jumlah keahlian Pejuang yang berdaftar sejak tujuh bulan dahulu adalah 38 orang, dan jumlah undi yang saya terima 361 undi, dengan tempoh kempen selama kurang lebih 16 hari.
Dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh
Bagi mereka yang kecewa, maklumat ini boleh membantu mereka untuk memahami dan mungkin boleh melegakan sedikit kekecewaan mereka.
Abang-abang dan kakak-kakak,
Ya, memang jumlahnya amat kecil tetapi kita harus memahami ranah politik, perspektif kita harus betul kerana disinilah ujian bagaimana kita sebagai pejuang, menerima realiti dengan penuh keinsafan dan dengan sikap yang positif.
Jangan lupa, 18,000 pengundi inilah ia boleh menjadi asas kepada parti Pejuang memulakan langkah untuk bertapak di kawasan sepertimana parti-parti pembangkang yang lain sebelum ini.
Jika untuk membuka satu cawangan memerlukan 30 orang ahli, bermakna jika 18,000 orang yang memangkah, maka Pejuang boleh membuka sebanyak kurang lebih 600 buah cawangan di seluruh negeri Johor.
Ini jumlah yang agak baik bagi sebuah parti yang baharu yang belum mempunyai walau satu cawangan pun di negeri Johor.
Perlu juga diingat, 18,000 orang yang mengundi Pejuang ini mereka yang benar-benar meyakini Pejuang yang terhimpit ditengah-tengah banyaknya parti politik di sekeliling.
Mereka mengambil risiko yang cukup besar dan langkah yang berani untuk memangkah Pejuang. Ini suatu perkara yang indah untuk difahami oleh ahli-ahli parti Pejuang.
Lapan belas ribu orang ini adalah manifestasi bahawa seramai 18,000 orang Johor menolak rasuah kerajaan kleptokrat.
Lapan belas ribu ribu orang ini juga adalah mereka yang menolak kerjasama (MOU) politik antara PH dengan kerajaan BN/PN. Ini kemenangan moral yang cukup baik untuk Pejuang.
Bagi saya, inilah makna-makna disebalik nombor yang kecil. Bersabarlah dan berusahalah menjadi lebih baik dari sekarang.
Pejuang; dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh.
MAHDZIR IBRAHIM ialah bekas calon Pejuang di Semerah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.