Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa Bersatu dan presidennya, Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan, berikutan prestasi buruknya dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Dalam catatan Facebook hari ini, Puad menyorot bahawa Muhyiddin telah menyerang pemimpin Umno dan Umno sepanjang kempen Bersatu di Johor.
"Muhyiddin menyerang Umno dan pemimpin Umno dengan kasar. Justeru bermaruahkah Muhyiddin dan menteri Bersatu terus kekal dalam kerajaan yang dipimpin oleh Umno?
"Tekanlah 'butang' jika bermaruah. Bangsa Johor tidak percaya kamu prihatin Bangsa Johor," katanya.
Puad turut menggesa menteri Bersatu meletakkan jawatan daripada kerajaan kerana menurutnya, parti itu telah "berbelanja besar".
"Muhyiddin (kata) sedia letak jawatan dalam parti kerana Bersatu kalah teruk di PRN Johor.
"Sepatutnya Muhyiddin dan menteri-menteri dari Bersatu letak jawatan dalam kerajaan.
"Mereka berkempen secara habis-habisan. Bersatu berbelanja besar. Termasuk sedia bas untuk mengangkut pengundi," katanya.
Muhyiddin, yang juga pengerusi PN sebelum ini berkata dia bersedia untuk berundur dan bertanggungjawab ke atas keputusan PRN Johor jika ahli parti menginginkan perubahan pimpinan.
PN bertanding di semua 56 kerusi tetapi hanya berjaya memenangi tiga – Maharani, Endau dan Bukit Kepong.
Bersatu memenangi dua kerusi manakala PAS satu kerusi.
PN sebelum ini memegang 12 kerusi di negeri itu.