Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghuni 15 rumah di Bukit Permai 1 dinasihat pindah

Polis menasihatkan penduduk di 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1, Ampang dekat Kuala Lumpur, untuk mengosongkan kediaman dan berpindah sementara susulan berlaku gelongsoran tanah baharu semalam di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata gelongsoran tanah agak besar itu dikesan berlaku pada 7 malam, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.

“Kawasan Taman Bukit Permai 1 ini terletak di atas bukit iaitu berhampiran lokasi insiden cerun runtuh.

“Kita khuatir kejadian gelongsoran tanah yang baharu ini akan memberi kesan kepada satu deretan kediaman di kawasan itu, jadi kita nasihatkan mereka berpindah.

“Setakat ini, hanya satu lorong sahaja yang terbabit tetapi kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Farouk berkata keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kedudukan tanah tidak stabil dan boleh menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS