mk-logo
Berita
Saya akan terus sokong Muhyiddin, kata Faizal Azumu
Diterbitkan:  Mar 13, 2022 6:53 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata dia akan terus menyokong presiden Muhyiddin Yassin selepas dia menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan setelah prestasi buruk Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.

“Perjuangan Muhyiddin mesti diteruskan. Saya akan tetap menyokong kepimpinannya.

“Seluruh kepimpinan Bersatu di semua peringkat juga turut mendokong setiap yang beliau perjuangkan," katanya di Twitter hari ini. Dia turut menanda Muhyiddin dalam ciapannya.

Sebaik keputusan PRN Johor diumumkan semalam, Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata dia sedia untuk melepaskan jawatannya.

“Kalau nak tukar (kepimpinan) saya terima. Kita amalkan sistem progresif. (Jawatan pengerusi) Bukan hak saya, (tapi) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN,” katanya kepada pemberita di pusat operasi PN di Senai.

PN bertanding di kesemua 56 kerusi namun hanya menang tiga, iaitu di Maharani, Endau dan Bukit Kepong. DUN Maharani dimenangi PAS manakala dua kerusi lagi dimenangi Bersatu.

Sebelum pembubaran DUN, PN memegang 12 kerusi di Johor dan bersama-sama BN - yang memiliki 16 kerusi - dalam kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS