Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berpandangan keadaan kesihatan awam di negara ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum PRU15 diadakan.
Khairy berkata walaupun negara telah masuk ke fasa peralihan ke endemik, tidak bermaksud pandemik berkenaan sudah tamat dan semua pihak masih perlu berhati-hati memandangkan PRU15 melibatkan orang ramai.
“Sempadan negara dibuka, saf boleh dirapatkan (solat berjemaah di masjid dan surau) dan had maksimum kapasiti (di masjid dan surau) dimansuhkan tetapi itu tidak bermakna kita boleh buat apa sahaja. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru selesai, saya rasa lebih baik tunggu sehingga keadaan kesihatan awam betul-betul stabil.
“Saya nampak kerajaan persekutuan ada perjanjian hingga Julai (Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik), tiada keperluan mendesak kerana kerajaan stabil, tidak akan tumbang, undang-undang dapat diululuskan di Parlimen, jangan kita mengundang perkara yang tidak perlu semata-mata kita nampak ada peluang politik,” katanya.
Khairy ditemui pemberita selepas program khidmat komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Seremban, hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diadakan bagi mencari mekanisme terbaik terhadap cadangan membenarkan pesakit Covid-19 mengundi pada pilihan raya.
Dia berkata sememangnya rakyat Malaysia berhak mengundi namun disebabkan negara masih dilanda pandemik, mekanisme yang selamat bagi membolehkan pesakit Covid-19 mengundi tanpa memudaratkan kesihatan awam perlu difikirkan.
“Ya, memang hak mereka (pesakit Covid-19) mengundi dan hak rakyat Malaysia (juga untuk) tidak dijangkiti Covid-19, jadi dalam mengimbangi hak ini, kita perlu kaedah terbaik,” katanya.
Mengulas cadangan segelintir pihak agar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dijadikan pusat mengundi, Khairy berkata hampir 96 peratus pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
Menurut Khairy sekiranya PKRC digunakan sebagai pusat mengundi, persoalan lain yang akan timbul adalah keselamatan kesihatan anggota keluarga yang terdedah dengan jangkitan Covid-19 semasa mereka menghantar pesakit ke PKRC.
“Saya terbaca semalam, contohnya mewujudkan pusat mengundi di PKRC, persoalannya jika wujud satu pusat mengundi pos bagi pesakit Covid-19, bagaimana mereka hendak pergi ke sana, kalau individu itu boleh bawa kenderaan sendiri tidak menjadi masalah...jika tidak, siapa yang perlu membawa mereka, ini boleh memudaratkan ahli keluarga atau pemandu Grab misalnya.
“Memang banyak cara tetapi saya bangkitkan dulu cabarannya...nak lakukan boleh tetapi perlu berbincang dengan SPR selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata sebanyak 54 kompaun dikeluarkan sepanjang PRN Johor dan menyifatkan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 pada PRN berkenaan dipatuhi dengan baik.
-Bernama