Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC gesa PM wajibkan gaji minimum RM1,500
Diterbitkan:  Mar 13, 2022 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mewajibkan gaji minimum RM1,500 dalam sektor swasta.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata perkara itu perlu dilakukan melalui Perintah Gaji Minimum.

“Perdana menteri seharusnya mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada sektor swasta melalui perintah gaji minimum dan bukannya hanya memberi nasihat kepada syarikat supaya melaksanakan gaji minimum.

"Pengakuan perdana menteri bahawa pekerja yang mempunyai pendapatan rendah boleh dibantu dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 adalah kenyataan yang benar," katanya dalam satu kenyataan.

Ini berlaku selepas perdana menteri berkata kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Dia juga menggesa syarikat dalam sektor swasta berbuat demikian.

Kamarul memuji komitmen kerajaan dalam usaha itu, bagaimanapun berpendapat cadangan RM1,500 itu perlu diberi mandat.

"Kajian dan perbincangan telah selesai di jalankan melibatkan kerajaan,kesatuan sekerja dan persatuan majikan.

"Sepatutnya kerajaan boleh mewajidkan kadar yang baru setelah kajian dikemukan kepada kabinet," tambahnya.

Kamarul menggesa agar isu gaji minimum tidak digunakan dalam kempen politik semasa pilihan raya kerana ia adalah perkara mendesak yang perlu ditangani.

"Sudah sampai masanya kabinet mengumumkan gaji minima yang baru sepertimana di dalam Akta Gaji Minimum yang memerlukan kerajaan mengkaji gaji minima sekali dalam tempoh dua tahun.

"MTUC masih lagi menunggu masa yang sesuai untuk berjumpa dengan YAB untuk berbincang mengenai kesusahan pekerja dalam mendepani kos sara hidup. Kewajaran gaji minimum RM1,500 adalah keutamaan MTUC dalam perbincangan kelak," kata Kamarul.

Gaji minimum bulanan semasa di semua kawasan majlis bandar raya dan perbandaran ialah RM1,200 manakala RM1,100 di kawasan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS