Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: BN tidak bertambah kuat, tapi pembangkang berpecah

Presiden Amanah Mohamad Sabu berpendapat keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor, di mana BN menang 40 daripada 56 kerusi, bukan menunjukkan gabungan itu bertambah kuat, sebaliknya disebabkan perpecahan ketara pembangkang.

Justeru, Mohamad berkata keputusan itu perlu dijadikan pengajaran agar pembangkang "kembali bertaut" dan bersama-sama menyusun strategi bagi menghadapi PRU15.

"Saya ingin memberi ingatan kepada semua pihak, jika kita terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya kita akan 'memakan angin' beramai-ramai selepas PRU15 nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas tempoh kempen selama dua minggu, BN akhirnya berjaya membentuk kerajaan negeri baru dengan majoriti dua pertiga semalam.

PH pula meraih kemenangan di 12 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan tiga kerusi dan Muda mendapat kemenangan di satu kerusi.

Mohamad berkata, seperti yang telah dijangka, faktor utama keputusan adalah peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, terutama sekali di kalangan penduduk-penduduk bandar dari kalangan orang Tionghoa.

Katanya, faktor ini menyebabkan kawasan-kawasan campuran yang menjadi tapak kekuatan PH, mengalami kekalahan.

"Faktor kedua, yang paling besar sekali adalah perpecahan pembangkang. Keputusan PRN Johor menunjukkan dengan jelas bahawa, jumlah undi yang diperolehi oleh pembangkang, melebihi 200,000 undi, jika dibandingkan dengan BN.

"Jumlah undi sebanyak 200,000 ribu tersebut, jika dibahagi kepada 56 DUN secara purata, hampir 4,000 jumlah undi pembangkang mengatasi BN," jelasnya.

Dalam pada itu Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan pihaknya amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh mengugat proses demokrasi.

Tegasnya, keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani PRU15 kelak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratusan keluar mengundi sebanyak 54.92 peratus. Ia kelihatan rendah namun ini pilihan raya pertama selepas pelaksanaan sistem pendaftaran automatik, serta had umur baru layak mengundi, iaitu 18 tahun.

Menurut SPR, sebanyak 1,426,573 pemilih telah mengundi semalam. Sebagai perbandingan, seramai 1,503,995 pengundi di Johor telah keluar mengundi pada PRU 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS