Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rasmi: BN kembali berkuasa di Johor
Diterbitkan:  Mar 12, 2022 10:36 PM
Dikemaskini: 4:12 PM

BN telah meraih mandat besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini apabila berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dengan jumlah kerusi itu, BN meraih dua pertiga majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang amat kukuh. Umno pula boleh berbangga dengan kejayaan merampas semula negeri kelahiran parti itu yang juga suatu ketika dahulu adalah kubu kuatnya.

Selain BN, Pakatan Harapan dan sekutunya pula memenangi 13 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi manakala parti lain gagal mendapat sebarang kerusi.

Daripada 13 kerusi PH dan sekutunya, 10 adalah milik DAP, manakala Amanah dan PKR masing-masing hanya mampu menang satu kerusi. Satu lagi kerusi adalah daripada Muda.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan juga mengesahkan kemenangan BN.

“Bagi keseluruhan pengundian sehingga jam 11.05 malam, BN telah memenangi sejumlah 29 kerusi daripada 56 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini telah berjaya memperolehi suatu majoriti melebihi lima puluh peratus (50%) daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” kata pengerusinya, Abdul Ghani Salleh.

Bilangan 28 kerusi adalah jumlah minimum yang diperlukan untuk majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri.

Sementara itu, ibu pejabat Umno Johor di Johor Bahru bergema dengan laungan 'bubar Parlimen' selepas keputusan tidak rasmi memberi bayangan bahawa BN akan menang besar.

Hadir pada majlis itu adalah perdana menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

Dia bagaimanapun tidak memberi sebarang perhatian terhadap kumpulan yang melaungkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menggesa supaya perdana menteri mengambil keputusan segera dengan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS