Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN terbuka untuk kerjasama dengan parti lain selepas PRN
Diterbitkan:  Mar 12, 2022 7:00 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

PRN JOHOR| BN sedia untuk memeterai kerjasama dengan mana-mana pihak selepas pilihan raya negeri Johor.

Bagaimanapun, menurut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, jika BN yang menang besar dalam pilihan raya itu, kerjasama tidak akan membawa erti lagi bagi gabungan berkenaan. 

“Setakat ini kami masih buka pintu dan kita sentiasa berlapang dada, berfikiran terbuka untuk kita bersama dengan mana-mana parti yang didaftarkan. 

“Tetapi kalau insya-Allah kita dapat dua pertiga, saya fikir kerjasama tidak bererti,” katanya ketika tiba di pusat gerakan BN di Johor Bahru. 

Pun begitu, sekiranya BN benar-benar mampu menawan dua pertiga DUN Johor, Zahid memberikan bayangan bahawa gabungan itu akan memberikan “dukungan” kepada wakil rakyat pembangkang di negeri berkenaan.

Dukungan itu, menurutnya, adalah dengan turut memberikan peruntukan kepada Adun-Adun pembangkang yang dipilih rakyat Johor. 

“Mungkin ada suatu perbincangan perlu diadakan untuk kita turut memberi peruntukan kepada semua Adun di negeri Johor yang dipilih oleh rakyat. 

“Dan ini adalah satu penanda aras untuk kita memelihara, bahawa walaupun kita menang dengan majoriti yang baik tetapi kita masih menghargai Adun yang dipilih oleh para pengundi dan rakyat,” katanya. 

Undian ditutup jam 6 petang tadi, dan kini kertas undi sedang dikira. 

Menurut kemas kini terakhir pada jam 4 petang tadi, peratus mengundi adalah pada kadar 50 peratus. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS