Ramai pengundi muda yang pertama kali mengundi di Johor memuji pelaksanaan sistem pendaftaran automatik.
Terdapat pengundi muda layak mengundi buat pertama kali selepas had usia mengundi dikurangkan daripada 21 kepada 18.
Ada juga yang layak mengundi pada 2018 tetapi baru pertama kali berpeluang mengundi hari ini, selepas nama mereka didaftarkan secara automatik.
Engku Puteri Arwyn Mysara Engku Ismeal Putera Al-Madeah, 19, menyifatkan pengalamannya sebagai gementar tapi teruja.
"Saya pernah tengok atuk dan nenek saya mengundi masa saya kecil dan saya rasa teruja.
"Saya rasa ia adalah satu perkara besar bila dapat mengundi sekarang," katanya.
Arwyn Mysara, yang bekerja sebagai pembantu peribadi berkata rakan sebayanya juga tak sabar untuk mengundi dan mereka bercerita mengenainya.
"Ia satu tanggungjawab... saya hanya memainkan peranan saya," kata Tengku Arwyn yang mengundi di kerusi DUN Stulang.
Ng Pei Zhen, 27, yang baru pulang dari Australia juga memuji sistem pendaftaran automatik itu.
“Senang,” kata Ng, yang bekerja sebagai jurutera di Australia.
Dia menambah bahawa proses mengundi itu berjalan dengan lancar dan efisien.
Bagaimanapun keadaan Nurain Nafisa Zainal Fitri, 24, agak berbeza kerana dia telah mendaftar secara manual sebelum pelaksanaan sistem pendaftaran automatik.
Gadis dari Stulang itu belum cukup umur ketika pilihan raya umum 2018, ketika had umur mengundi masih 21 tahun.
“Memang ternanti-nanti. Dah lama daftar tapi baru berapa tahun baru boleh dapat undi,” katanya.
Pelukis ilustrasi bebas itu berkata dia telah mendapatkan pandangan dengan rakan-rakannya tentang siapa yang perlu diundi dan kebanyakan daripada mereka rasa teruja.
"Ramai tunjuk gambar jari kat media sosial. Ramai yang kat Kuala Lumpur pun balik,” katanya.
Nur Maisarah, 21, mengundi untuk pertama kali di Perling dan berasa senang dengan proses yang berjalan dengan lancar.
Tambah Maisarah, dia merasakan dirinya perlu untuk menunaikan tanggungjawabnya walaupun dengan pandemik Covid-19.
“Covid ni macam kita dah tinggal dengan dia. Kita kena jaga sendiri SOP. Mengundi ini kita macam mainkan satu peranan yang besar. Kita tentukan apa kita punya masa depan negara kita.
“Kita nak yang terbaik, kita kena mainkan kita punya peranan,” katanya.
Juruteknik Nur Imran Ammar, 25, mengambil masa untuk mengundi sebelum memulakan kerjanya dari syif malam. Dia merupakan pertama kali.
“Saya harap tiada lagi rasuah. Kita perlukan pemimpin yang bagus,” katanya.
Undi 18 dan sistem pendaftaran automatik pengundi adalah pertama kali dilaksanakan ketika pilihan raya negeri Johor.
Meskipun ramai pengundi kali pertama keluar mengundi hari ini, golongan pertengahan umur dan warga masih lebih ramai di barisan pusat mengundi.
Mereka akan menentukan wakil rakyat yang baru dipilih bagi 56 kerusi di DUN Johor.
Keputusan dijangka mula keluar selepas kebanyakan pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang.