Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM 'main taichi' isu gaji minimum RM1,500 - PSM
Diterbitkan:  Mar 12, 2022 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam isu pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan.

Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata rang undang-undang (RUU) perlu dibentangkan di parlimen sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan perkara itu.

Dia mengulas kenyataan Ismail Sabri bahawa kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

"Kenapa tidak dinaikkan sahaja gaji minimum kepada RM1,500 sekarang? Kenapa perdana menteri main taichi? Pertamanya, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memuji dua syarikat kerana menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan kini Ismail Sabri meminta GLC berbuat demikian.

“Dengan segala kuasa yang ada, kenapa tidak ke parlimen dan lakukan sahaja memandangkan pembangkang juga menyokong kenaikan gaji minimum.

“Kami menggesa gaji minimum RM1,500 sekarang yang sebenarnya jauh lebih rendah daripada apa yang dicadangkan oleh formula pengiraan gaji minimum,” katanya.

Terdahulu, Ismail turut menggesa syarikat daripada sektor swasta melaksanakan pembayaran gaji minimum RM1,500 sebulan.

Sebelum ini, Ismail berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan majikan berhubung cadangan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara holistik.

Saravanan juga menyatakan bahawa cadangan gaji minimum RM1,500 sebulan boleh dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Pada masa ini, gaji minimum di kawasan majlis bandaraya atau majlis perbandaran ialah sebanyak RM1,200 manakala kawasan selain itu adalah RM1,100 sebulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS