Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menutup pusat mengundi lebih awal atas alasan jumlah peratus pengundi yang rendah sangat mengejutkan, menurut calon DAP DUN Bekok M Kanan.

Ketika dihubungi, Kanan mendakwa sebanyak tiga pusat mengundi ditutup pukul dua petang sementara satu lagi akan ditutup pada 4 petang.

"Saya terkejut dengan keputusan SPR untuk menutup pusat mengundi lebih awal kerana jumlah pengundi yang rendah. Apakah rasional di sebalik keputusan SPR ini?

"Mereka sepatutnya membuka ke semua pusat mengundi sehingga enam petang untuk memberi hak kepada pengundi yang masih tidak keluar mengundi.

"Bagaimana jika seorang pengundi yang kerja hari ini mungkin akan keluar mengundi pada sebelah petang?" soalnya kepada Malaysiakini.

Menurut seorang ejen tempat mengundi, tiga pusat mengundi yang telah ditutup ialah PDM Ladang Kempas, Ladang Getah Eldred Bekok dan Kampong Jawa Chaah, manakala PDM Chaah Timur akan ditutup pada pukul 4 petang.

"Kami percaya lebih ramai pengundi akan keluar mengundi pada petang. Ini kerana ada yang masih perlu pergi bekerja pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Kanan mendakwa bahawa SPR telah pun membuat notis awal kepada calon yang terlibat bahawa pusat mengundi akan ditutup awal.

Namun, dia mempersoalkan sama ada adakah pengundi dimaklumkam berkenaan perkara itu.

"Tidak mbermakna sekiranya notis itu ditampal di pusat mengundi sahaja tetapi pengundi tidak dimaklumkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS