Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemasukan pesakit Covid-19 kanak-kanak ke PICU meningkat
Diterbitkan:  Mar 12, 2022 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Kadar kemasukan kanak-kanak ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat Covid-19 bagi kategori 3 hingga 5 meningkat secara drastik pada Mac, menurut Kementerian Kesihatan.

"Kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU (Paediatric Intensive Care Unit) akibat Covid-19 meningkat sebanyak 94 peratus untuk kesemua kategori 3 hingga 5, dengan peningkatan ketara untuk kategori 4 sebanyak 200 peratus, diikuti kategori 5 sebanyak 125 peratus," kata Kementerian Kesihatan melalui satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Hantaran itu turut melampirkan info grafik yang menunjukkan peningkatan kadar kemasukan PICU bagi kategori 2, 3, 4 dan 5 serta peratusan kenaikan antara Jan hingga Feb 2022 dan Jan hingga Mac 2022.

Berdasarkan infografik itu, tiada peningkatan kemasukan PICU bagi pesakit Covid-19 kategori 2, manakala terdapat peningkatan 50 peratus bagi pesakit kategori 3.

Kategori 2 merujuk kepada pesakit yang mengalami gejala ringan tanpa radang paru-paru, manakala kategori 3 adalah pesakit yang mengalami gejala sederhana dan radang paru-paru.

Kategori 4 adalah pesakit yang memerlukan oksigen manakala kategori 5 adalah pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif.

Kementerian Kesihatan berkata kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah kini berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19 kerana kebanyakan mereka masih belum diberi vaksin sepenuhnya, berbanding kumpulan dewasa.

"Pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun, terutamanya apabila negara akan memulakan fasa ‘peralihan ke endemik’.

"Oleh itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi menasihati ibu bapa untuk mengambil vaksin untuk anak-anak anda bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan Covid-19," katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) bermula pada 3 Feb 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS