Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azan ingatkan Hadi: Usah tambah perpecahan di Johor
Diterbitkan:  Mar 11, 2022 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

PRN JOHOR | Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail meminta Abdul Hadi Awang tidak memberikan komen negatif kepada penduduk Johor.

Hal itu kerana, kata Azan, kenyataan presiden PAS terbabit hanya menambah perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Perpecahan sebegitu, tambah Azan, pernah berlaku di Terengganu dan sehingga kini ia belum dapat disembuhkan lagi.

"Lebih baik Abdul Hadi melupakan untuk memberi pandangan buruk terhadap rakyat Johor yang boleh menambahkan kemarahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di sana.

"Perpecahan dalam kalangan umat Islam di Terengganu disebabkan tindakan Abdul Hadi pada 1978 masih belum terubat sehingga sekarang," katanya kepada Malaysiakini.

Pada awal minggu ini dilaporkan berkata, PAS gagal mendapat kemenangan di Johor kerana rakyat di negeri itu kurang kesedaran terhadap "politik Islam" berbanding pengundi di Kelantan dan Terengganu.

Semalam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempertahankan Abdul Hadi dengan berkata, mungkin kenyataan ahli parlimen Marang itu disalah tafsir atau tersilap petik.

“Saya tak pasti apa yang dimaksudkan Abdul Hadi. Dia rakan saya dalam PN. Mungkin dia tersalah lapor agaknya,” kata Muhyiddin.

Menurut Azan kenyataan Abdul Hadi itu juga sebenarnya merendahkan kedudukan Sultan Johor selaku ketua agama di negeri terbabit.

"Adakah Abdul Hadi sebenarnya mahu menyembunyikan kegagalan dan peranannya sebagai duta khas kerajaan ke Timur Tengah?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS