Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS guna media sosial ajak pengundi elak pangkah 'penyamun'
Diterbitkan:  Mar 11, 2022 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

PRN JOHOR | Beberapa jam sebelum tempoh kempen mula dilarang, PAS dilihat semakin menggiatkan usaha mereka untuk mengajak pengundi menolak Umno-BN.

Beberapa akaun media sosial parti itu secara jelas menyampaikan mesej berkenaan dengan sesetengahnya menggunakan istilah yang kasar seperti "perompak" dan "penyamun".

Mereka juga gigih mengajak pengundi luar agar kembali ke Johor sempena PRN ini bagi membuat keputusan menentukan kerajaan di negeri terbabit.

Melalui media sosial, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan pengundi Johor agar tidak "mengulangi kesilapan" semasa mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi esok.

"Wahai bangsa Johor! Selamat balik mengundi! Tunaikan kewajipan, jangan ulangi kesilapan," katanya.

Akaun Facebook PAS pula lebih 'pedas' menyampaikan mesej berkenaan.

Semalam misalnya akaun berkenaan memetik kata-kata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fahdli Shaari semasa berucap di Johor pada 8 Mac lalu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu dipetik sebagai berkata pengundi baru perlu memastikan peluang yang ada untuk mengelak masa depan negara tergadai.

"Kepada adik-adik yang berumur 18, 19, 20 tahun, pastikan peluang anda untuk memangkah buat kali pertama tidak digunakan untuk memangkah penyamun dan perompak serta mereka yang telah menggadaikan masa depan negara," katanya yang juga ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Hari ini akaun yang sama menyiarkan hantaran dengan nada sama.

Misalnya ajakan kepada pengundi untuk membuktikan mereka bebas daripada kongkongan Umno-BN.

"Esok adalah saaatnya anda berikan pengajaran kepada ahli politik yang tamak dan pentingkan diri mereka sendiri," kata hantaran tersebut.

Mengiringi ajakan itu ialah imej Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khiruddin, yang dipetik sebagai mempersoalkan sama ada pengundi sudah hilang keberanian menolak parti yang menyebabkan negara tidak stabil.

PAS juga mengingatkan orang ramai mengenai tindak-tanduk Umno yang menggerakkan langkah politik bagi mengadakan PRN di Melaka sebelum ini.

"Anda bayangkan, selepas menang di Melaka, mereka bazirkan duit rakyat dengan PRN Johor.

"Kalau Umno-BN menang lagi di Johor pada hari esok, besar kemungkinan seluruh rakyat Malaysia pula akan disusahkan dengan PRU ke-15.

"Kita kena hentikan mereka. Bantu kami hentikan mereka dengan memastikan Umno kalah pada hari esok!" gesa akaun Facebook tersebut.

Pagi tadi Exco Kelantan Dr Izani Husin membuat hantaran ringkas pada Facebooknya.

"Umno telah terkubur di Johor pada PRU ke-14. Jangan lupa sejarah.

"Mengulanginya adalah mudah. Bangsa Johor, jom undi PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS