Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempertahankan Ismail Sabri Yaakob selepas perdana menteri itu diselar kerana dianggap gagal menghayati maksud tema Hari Wanita Sedunia tahun ini.
Kata Ahmad Marzuk Shaary tanggapan pihak yang terhadap Ismail Sabri itu adalah gambaran sempitnya pemikiran mereka kepada maksud kesaksamaan.
"Saksama bagi kita masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran feminis yang mahukan kesamarataan mutlak tanpa sebarang pengecualian.
"Jika mahu difahami begitu, apa-apa kelebihan tertentu yang diberikan kepada lelaki secara automatik akan menjadi suatu bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap pihak wanita tidak kira apa pun asas dan justifikasinya, seperti mana yang dilihat melalui perbuatan memakaikan butang baju Melayu suami," katanya.
Pada 8 Mac lalu Ismail Sabri memuat naik ucapan Hari Wanita Sedunia diiringi dengan gambar dia dipakaikan butang baju Melayu oleh isterinya.
"Selamat Hari Wanita Sedunia. Pengorbanan wanita tiada noktah dan tandingannya.
"Wanita adalah harapan bangsa, berperanan besar dalam sesebuah organisasi dan menyumbang kepada kejayaan negara," ciap naib presiden Umno itu.
Pada gambar itu juga tertera slogan sambutan, iaitu Saksama Bersama.
Kata Ahmad Marzuk bagi PAS kesaksamaan dalam Islam bermaksud keadilan dan ia bukan sekadar memberikan apa saja yang diperolehi lelaki kepada wanita.
"Keadilan itu ialah meletakkan setiap sesuatu selayaknya dan kena pada tempatnya.
"Dalam meraikan perbezaan yang wujud di antara lelaki dan wanita, hukum-hakam Islam tidak menyebut soal hak semata-mata, tetapi turut mengambil kira soal perbezaan tanggungjawab," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Kata ahli parlimen Pengkalan Chepa itu lagi secara umum Islam memang memberikan hak yang sama kepada lelaki dan wanita, tetapi kadarnya berbeza bergantung kepada keperluan.
Contohnya, tambah Ahmad Marzuk, lelaki dan wanita diberikan hak untuk bekerja dan menyara keluarga, tetapi lelaki diwajibkan menyediakan keperluan asas keluarga, manakala wanita mempunyai pilihan untuk membantu menanggung ekonomi keluarga ataupun tidak.
Namun katanya lagi ada juga hak-hak yang khusus diberikan kepada lelaki seperti berpoligami (yang bukan wajib), atau hak yang hanya diberikan kepada wanita seperti nafkah.
"Perbezaan hukum Islam terhadap lelaki dan perempuan adalah suatu perbuatan yang adil, justeru berlaku adil adalah keimanan.
"Sempena tema Saksama Bersama pada tahun ini, kita sangat setuju potensi wanita perlu dioptimumkan sebaiknya dengan menyediakan segenap ruang dan peluang yang adil untuk mereka memajukan diri, mengikut pilihan mereka sendiri, baik sebagai pemimpin, wanita bekerjaya mahupun surirumah sepenuh masa mengikut batas-batas sempadan yang dibenarkan syarak," katanya.