Pilihan raya DUN Johor melabuhkan tirainya dengan BN dinobat sebagai pemenangnya.
Liputan secara langsung ini menyiarkan keputusan mengikut pengumuman mengenainya.
Terima kasih ikuti laporan Malaysiakini
12.35 malam - Hantaran ini menyimpulkan liputan langsung Malaysiakini mengenai proses pengiraan pilihan raya Johor.
Sokong usaha kami dengan melanggan Malaysiakini di sini.
Laporan sepanjang kempen pilihan raya dibawakan kepada anda oleh Hariz Mohd, Ng Xiang Yi, Alyaa Alhadjri, Fion Yap, Shakira Buang, Alena Nadia, Vivian Yap, Baharudin Suarnur, Mukhriz Hazim, Azneal Ishak dan Hailey Chung.
12.15 malam - Pembahagian kerusi DUN mengikut parti
Berdasarkan keputusan rasmi PRN kali ini, Umno sahaja mempunyai 33 kerusi DUN membolehkan parti itu memerintah Johor secara solo.
Ini walaupun tanpa sekutu BN lain, MCA dan MIC yang masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi.
Keputusan PRN kali ini juga merupakan rangsangan besar kepada MCA yang tidak menang sebarang kerusi pada 2018.
Pilihan raya ini juga melihat ramai calon PH tewas. Parti komponen Amanah dan PKR hanya menang satu kerusi setiap satu, turun daripada sembilan dan lima masing-masing sebelum ini.
DAP memenangi 10 kerusi, turun daripada 14 pada 2018.
Bagi gabungan PN pula, Bersatu, yang menang lapan kerusi pada 2018, hanya tinggal dua kerusi manakala sekutu mereka PAS memenangi satu.
Kerusi BN:
Buloh Kasap (Umno)
Pemanis (Umno)
Kemelah (MIC)
Tenang (Umno)
Bekok (MCA)
Bukit Pasir (Umno)
Gambir (Umno)
Serom (Umno)
Bukit Naning (Umno)
Sungai Balang (Umno)
Semerah (Umno)
Sri Medan (Umno)
Yong Peng (MCA)
Semarang (Umno)
Parit Yaani (Umno)
Parit Raja (Umno)
Senggarang (Umno)
Rengit (Umno)
Machap (Umno)
Layang-layang (Umno)
Mahkota (Umno)
Paloh (MCA)
Kahang (MIC)
Tenggaroh (MIC)
Panti (Umno)
Pasir Raja (Umno)
Sedili (Umno)
Johor Lama (Umno)
Penawar (Umno)
Tanjung Surat (Umno)
Tiram (Umno)
Permas (Umno)
Larkin (Umno)
Kempas (Umno)
Kota Iskandar (Umno)
Bukit Permai (Umno)
Benut (Umno)
Pulai Sebatang (Umno)
Pekan Nanas (MCA)
Kukup (Umno)
Pakatan Harapan dan sekutu:
Jementah (DAP)
Tengkak (DAP)
Bentayan (DAP)
Penggaram (DAP)
Mengkibol (DAP)
Johor Jaya (DAP)
Stulang (DAP)
Perling (DAP)
Skudai (DAP)
Senai (DAP)
Simpang Jeram (Amanah)
Bukit Batu (PKR)
Puteri Wangsa (Muda)
Perikatan Nasional:
Bukit Kepong (Bersatu)
Maharani (PAS)
Endau (Bersatu)
Keputusan PRN Johor: BN 40, PN 3, PH 12, Muda 1
11.50 malam: BN menang 40 kerusi DUN. Umno menyumbang 33, MCA empat dan MIC tiga.
Pakatan Harapan dan sekutunya menang 13. Sepuluh kerusi datang daripada DAP.
Sementara itu, PKR, Amanah dan Muda masing-masing cuma menang satu kerusi.
Perikatan Nasional menang tiga kerusi. Bersatu menyumbang dua manakala PAS meraih satu kerusi.
PKR, Muda, Amanah menang satu kerusi
11.35: PKR, Amanah, Muda masing-masing cuma menang satu kerusi dalam pilihan raya Johor.
Muda berjaya mendapat kerusi Puteri Wangsa, kerusi pertama dan satu-satunya dalam PRN ini.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan tewas tipis di kerusi Parit Yaani dengan 294 undi kepada BN.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berjaya mempertahankan kerusi Simpang Jeramnya, untuk meraih satu-satunya kerusi partinya pada pilihan raya kali ini.
PKR juga hanya memenangi satu kerusi sahaja.
Muhyiddin akui kekalahan PN, sedia lepas jawatan
11.30 malam: Taman Scientex, Senai - Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar mengakui kekalahan dalam pilihan raya negeri, dan mengatakan pihaknya menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi Johor yang mahu Barisan Nasional memimpin negeri itu.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata dia memikul tanggungjawab atas kekalahan gabungan itu, dan bersedia untuk meletakkan jawatannya sebagai pimpinan jika itu yang dimahukan parti komponennya.
"Saya bersedia pada bila-bila masa, kalau ada ahli parti buat keputusan begitu. Pasal apa, keputusan itu atas persetujuan rakan-rakan pimpinan dalam PN.
"Kalau nak tukar saya terima. Kita amalkan sistem progresif bukan hak saya. (Ia) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN," katanya.
Prestasi PH tak membanggakan berbanding 2018
11.20 malam: PH Johor mengakui pencapaian mereka pada pilihan raya negeri Johor bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan, dengan hanya memenangi 13 kerusi berbanding 36 kerusi pada 2018.
Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata mereka akan menjalankan bedah siasat untuk melihat kelemahan dan kepincangan semasa pilihan raya.
“Ini penting bagi PH bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, terutamanya selepas kemenangan BN, kita tahu mereka sangat bersemangat untuk mengadakan PRU secepat mungkin,” katanya pada kenyataan bersama PH Johor pada sidang media di Le Grandeur Palm Resort, Senai malam ini.
Dia mengesahkan DAP meraih 10 kerusi manakala Amanah dan PKR masing-masing memenangi satu kerusi.
Ketika ditanya mengenai kegagalan PH menyampaikan undi di kerusi majoriti Melayu, Aminolhuda mendakwa rakyat Johor masih diumpan dengan politik perkauman.
Pada pilihan raya kali ini, Aminolhuda kehilangan kerusinya di Parit Yaani apabila tewas tipis 294 undi kepada BN.
Tidak rasmi: BN menang besar, raih majoriti dua pertiga
11.10 malam: Malaysiakini mengunjurkan BN meraih majoriti dua pertiga di DUN Johor.
Berdasarkan gabungan jumlah rasmi dan tidak rasmi, BN telah memperoleh sekurang-kurangnya 38 kerusi, melebihi nilai ambang yang diperlukan untuk menang majoriti besar.
BN dijangka mengambil beberapa lagi kerusi DUN yang mempunyai 56 anggota itu.
PN rampas Maharani dari PH
11 malam: Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi DUN Maharani di Muar daripada Pakatan Harapan.
Sebaliknya, Abdul Aziz Talib daripada PAS memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,037 undi.
Penyandangnya Nor Hayati Bachok daripada Amanah menduduki tempat kedua dengan 6,522 undi, diikuti BN dengan 5,861 undi.
Pada pilihan raya umum 2018, PAS menduduki tempat terakhir di Maharani. Mereka sebelum ini memegang kerusi itu pada 2008 dan 2013.
BN rampas dua dari tiga kerusi di kubu Muhyiddin
10.57 malam: BN telah menawan Bukit Pasir, satu dari dua kerusi DUN di bawah kerusi Parlimen Pagoh. Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ialah Ahli Parlimen Pagoh.
Mohamad Fazli Mohamad Salleh daripada BN menang dengan majoriti tipis 198 undi.
Dia mendapat 6,048 undi berbanding Perikatan Nasional 5,850 undi. Pakatan Harapan menduduki tempat ketiga dengan 4,676 undi.
Calon bebas Najib Lep dan Johar Siraj masing-masing menerima 1,860 dan 207 undi. Pejuang menduduki tempat terakhir dengan 196 undi.
PN berjaya mengekalkan satu lagi kerusi DUN di dalam Pagoh iaitu Bukit Kepong dengan majoriti 710 undi. Penyandangnya ialah bekas menteri besar Johor Sahruddin Jamal.
PN juga kalah di negara jiran Gambir. BN menawan kerusi itu dengan majoriti selesa 3,146 undi.
Muhyiddin ialah penyandang Adun tetapi tidak mempertahankan kerusi itu.
Tak dapat menang di Tenang, calon Muda mohon maaf
10.50 malam: Twitter - Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet memohon maaf kepada parti dan penyokongnya atas kekalahannya di Tenang. Bagaimanapun, katanya dia berbesar hati dengan pencapaian Muda setakat ini.
"Saya mohon maaf kerana tidak dapat memenangkan DUN Tenang buat Muda.
"Tetapi ini kali pertama kami bertanding, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman dan Felda yang rata-rata dikatakan kubu kuat BN.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan kami di Tenang. Ia satu penghormatan (untuk bertanding)," katanya pada hantaran di Twitter.
Tak rasmi: BN menang majoriti mudah
10.21 malam: Malaysiakini mengunjurkan BN telah menang 28 kerusi DUN, jumlah minimum yang diperlukan untuk majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Ditambah dengan sejumlah kerusi yang sedang didahului BN, gabungan itu tidak mustahil akan meraih majoriti dua pertiga dalam PRN ini. Sebanyak 38 kerusi perlu dimenangi untuk itu.
10.20 malam: Puad Zarkashi berjaya mengekalkan kemenangan BN di DUN Rengit, walaupun dengan jumlah undi yang lebih rendah.
Menurut kiraan tidak rasmi, Puad meraih 7,890 undi. Calon PN-Bersatu Mohammad Huzair Lajis di tempat kedua (5,851) diikuti dengan PH-PKR Khairuddin A Rahim (1,996).
Puad, 64, menggantikan Ayub Jamil yang telah menjadi wakil rakyat di sana selama empat penggal.
Puad merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno dan antara penyokong kuat Najib Razak. Dia merupakan timbalan menteri pendidikan antara 2009 hingga 2013 dan pernah mengetuai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ketika pentadbiran Najib.
Penyokong BN laung 'bubar parlimen'
10.18 malam: Pusat Operasi BN - Sekumpulan penyokong BN melaungkan "bubar parlimen" apabila Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan kemenangan BN berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bergerak dalam kerumunan orang ramai ke arah bilik tempat pemimpin tertinggi BN berkumpul.
PN buat kejutan di Endau
10.15 malam: Perikatan Nasional (PN) menarik kemenangan mengejut di Endau, merampas kerusi itu daripada BN.
Sehingga kini, ia satu-satunya kerusi penyandang BN yang tewas.
Ilham Center telah memilih kerusi itu sebagai kawasan yang perlu diperhatikan atas faktor calon.
Endau ialah kerusi DUN di bawah kawasan Ahli Parlimen Mersing Abd Latiff Ahmad yang berpaling tadah daripada Umno kepada Bersatu.
Alwiyah Talib dari PN menang dengan majoriti 3,041 undi.
Dia meraih 8,433 undi berbanding BN 5,392 undi, PH 1,154 undi dan Pejuang 145 undi. Calon bebas pula mendapat 77 undi.
Ini kerusi kedua yang dimenangi PN selepas Bukit Kepong.
10.10 malam: Taman Scientex, Senai - Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wan Saiful Wan Jan ditemui pemberita yang ingin mendapatkan beberapa komen daripada parti itu berhubung keputusan tidak rasmi yang menunjukkan BN meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negeri.
Pemimpin itu enggan mengulas, berkata PN sedang menunggu keputusan rasmi sebelum membuat kenyataan.
Wan Saiful bagaimanapun mengakui mereka tahu situasi itu, mengatakan PN "telah mengikuti" keputusan tidak rasmi secara langsung.
Menurutnya, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan mengadakan sidang media malam ini.
Penyokong BN laung ‘bubar Parlimen’
10.10 malam: Pusat gerakan BN - Sejumlah penyokong BN melaungkan "bubar Parlimen!" di saat Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan terus mengumumkan kemenangan gabungan itu berdasarkan kerusi tidak rasmi.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat berlalu di tengah-tengah penyokong menuju bilik di mana pemimpin tertinggi BN sedang berkumpul.
Setakat ini semua parti komponan BN mencatatkan kemenangan, termasuk calon daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.
PN menang di Bukit Kepong
10.10 malam: Bukit Kepong menjadi kerusi pertama yang dimenangi PN dalam PRN ini.
Ia salah satu kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Pagoh yang dipegang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Di satu lagi kerusi iaitu Bukit Pasir, BN kini mendahului namun hanya dengan 188 undi.
Di Bukit Kepong, PN mendahului dengan 847 undi.
Dua kerusi ini, serta kerusi DUN Gambir, dianggap sebagai dalam lingkungan pengaruh Muhyiddin.
PN kalah di Gambir dengan perbezaan lebih 2,000 undi. Muhyiddin merupakan penyandang tetapi tidak bertanding kali ini.
9.50 malam: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengakui kekalahan parti itu di empat kerusi - Yong Peng, Bekok, Paloh dan Pekan Nanas.
Lim mendakwa DAP dan PH mungkin mampu menang lebih banyak kerusi jika mereka ada lagi seminggu untuk berkempen.
"Jika kita ada seminggu lagi untuk berkempen, BN akan menang kurang kerusi. Mereka tidak akan dapat menang majoriti dua pertiga dan ia akan jadi tamparan buat Najib Razak.
"(Namun) kita tiada seminggu lagi. Satu minggu lagi keadaan mungkin berbeza di Johor," katanya kepada pemberita ketika tiba di pusat gerakan PH di Senai.
Sementara itu, Lim mengucapakan tahniah kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong atas kemenangan di Perling, dan menyuarakan penghargaan atas kepimpinannya di saat-saat sukar.
Dia juga menyuarakan penghargaan kepada calon DAP di Yong Peng, Alan Tee Boon Tsong kerana sanggup bertanding di "kerusi sukar".
BN 19 kerusi, PH satu setakat ini - kiraan tak rasmi
9.45 malam - Berikut ialah keadaan semasa proses pengiraan.
Kerusi yang telah dimenangi:
BN: Pemanis, Tenang, Bekok, Gambir, Bukit Naning, Semerah, Sri Medan, Parit Raja, Machap, Layang-layang, Paloh, Kahang, Bukit Permai, Benut, Pekan Nanas, Kukup, Tanjung Surat, Yong Peng dan Permas.
PH: Bentayan.
Kerusi yang belum dimenangi tetapi parti masing-masing mendahului:
BN: Buloh Kasap, Kemlah, Bukit Pasir, Serom, Sungai Balang, Semarang, Senggarang, Rengit, Mahkota, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tiram, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Pulai Sebatang
PH: Jementah, Parit Yaani, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Bukit Batu, Senai
Muda: Puteri Wangsa
Perikatan Nasional: Bukit Kepong, Maharani, Endau.
BN minta kiraan semula di Bukit Batu
9.40 malam: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata BN telah meminta agar kiraan semula diadakan di N51 Bukit Batu.
Ia selepas calonnya yang juga Ketua MIC Kulai S Suppayah kalah kepada calon PKR Arthur Chong dengan majoriti 115 undi.
Chong mendapat 9,417 undi manakala Suppayah mendapat 9,302 undi. PN pula meraih 4,011 undi dan Warisan dengan 1,349 undi.
Maszlee Malik tewas di Layang-Layang
9.32 malam: Maszlee Malik dari PKR ditewaskan BN di Layang-Layang.
Dengan kira-kira 90 peratus undi dikira, BN mempunyai 7,309 undi.
Maszlee di tempat kedua jauh dengan 4,613 undi diikuti PN dengan 1,213 undi. Pejuang mendapat 168.
BN merupakan penyandang kerusi ini tetapi PKR telah meletakkan calon berprofil tinggi dalam usahanya untuk menawan DUN itu.
Maszlee ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam. Layang-Layang merupakan DUN di bawah parlimen Simpang Renggam.
Satu lagi kerusi DUN ialah Machap, yang turut dikekalkan oleh BN.
PKR terlepas dua kerusi kepada BN
9.28 malam: PKR telah kehilangan kerusi DUN Bukit Naning dan Semerah, yang dimenanginya pada 2018, kepada BN.
Ini bermakna BN telah merampas semula 10 kerusi yang tewas dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam perkembangan lain, BN turut mengekalkan kerusi Parit Raja dan Machap.
BN rampas balik 8 kerusi
9.20 malam: Setakat ini, BN telah merampas semula lapan kerusi yang dimenangi PH pada PRU 2018, termasuk satu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika sebahagian dalam gabungan itu.
Kerusi tersebut adalah Tenang (Bersatu), Bekok (DAP), Gambir (Bersatu), Yong Peng (DAP), Paloh (DAP), Bukit Permai (Bersatu), Pekan Nanas (DAP) dan Pemanis (PKR).
Dalam perkembangan lain, BN mengekalkan kemenangan di Sri Medan manakala DAP mempertahankan Bentayan.
Dewan hotel ditempah PN masih 'sepi'
9.10 malam: Hotel Impiana, Senai - Dewan jamuan yang ditempah Perikatan Nasional sebagai pusat mengumumkan keputusan kiraan pengundian dan sidang media masih 'sepi' tanpa kehadiran mana-mana pemimpin parti.
Kecuali beberapa pegawai parti dan petugas media yang bersiap sedia di tempat itu, tiada calon atau penyokong yang tiba setakat ini.
Skrin utama di dewan itu juga tidak menunjukkan sebarang kemas kini undian, manakala dua skrin sisi menunjukkan liputan langsung daripada Astro Awani.
Beberapa pegawai parti berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan datang ke hotel itu kemudian dan dia mungkin mengadakan sidang media.
BN rampas Tenang dari Bersatu
9 malam: Malaysiakini mengunjurkan BN telah mengekalkan DUN Kahang, yang diwakili oleh MIC.
BN juga diunjurkan memenangi Tenang yang sebelum ini disandang Bersatu.
Walaupun Bersatu menjadi penyandang, Muda tampil mendahului PN.
Ketika berita ini ditulis, BN memperoleh 6,532 undi diekori Muda dengan 4,667 undi dan PN 3,997 undi. Pejuang mendapat 259 undi.
Terdapat kira-kira 10 peratus undi yang tinggal untuk dikira tetapi tidak mencukupi untuk merapatkan jurang.
Muda tak lagi mendahului di kerusi ditandingi
9 malam: BN mula mengejar Muda di kerusi yang ditandingi parti baru itu.
Di Puteri Wangsa - yang dijangka akan memberikan kemenangan mudah kepada Muda - parti itu kini hanya mendahului dengan 94 undi.
Ia meraih 10,244 undi manakala BN tidak jauh di belakang dengan 10,150 undi.
Di Tenang, Muda ketinggalan sebanyak 1,082 undi berbanding BN, dan ketinggalan kira-kira 4,000 undi di Bukit Permai.
Parti itu di tempat ketiga di Bukit Kepong, Parit Raja dan Larkin.
PM tiba di pusat operasi, BN dahului kiraan di 40 kerusi
8.55 malam: Pusat Operasi BN - Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba ketika BN terus kekal mendahului di lebih 40 kerusi.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan kemenangan tidak rasmi calon MB BN Hasni Mohamed di N51 Benut dengan majoriti 5,739.
Penyokong yang hadir termasuk komponen BN, parti MCA dan MIC, serta Friends of BN, Kimma dan parti Malaysia Makkal Sakthi.
Pemimpin Umno dari negeri lain juga terus tiba termasuk Pengerusi Umno Perlis Azlan Man.
BN rampas DUN Gambir, bekas kerusi Muhyiddin
8.52 malam - Malaysiakini mengunjurkan BN telah memenangi Gambir, di mana penyandangnya ialah pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pun begitu, pada PRN kali ini Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi itu dan meletakkan Mohd Solihan Badri sebagai calon dari PN.
Lawannya ialah Sahrihan Jani dari BN, Suraya Sulaiman dari Pejuang dan Naim Jusri dari PKR.
Ketika berita ini ditulis, BN memperoleh 6,947 undi kepada PKR 4,477 undi dan PN 4,264 undi. Pejuang mendapat 148 undi.
Dengan BN mendahului lebih 2,000 undi dan lebih 90 peratus undi dikira, undi tidak mencukupi untuk merapatkan jurang.
MCA isytihar menang di Yong Peng
8.27 malam - MCA mengumumkan kemenangan di Yong Peng. Ini kerusi kedua DAP yang dirampas MCA selepas Pekan Nanas.
MCA mendahului dengan 8,611 undi manakala DAP mempunyai 6,435 undi. PN menerima 1,437.
Ia diunjurkan menang dengan majoriti lebih daripada 2,000.
Hasni pertahan Benut
8.23 malam: Penyandang menteri besar Hasni Mohammad menang selesa di Benut.
Dengan lebih 80 peratus undi telah dikira, Hasni kini memiliki majoriti 4,801 undi.
Ini merupakan kemenangan ketiga BN.
BN rampas Pekan Nenas, pertahan Kukup - Unjuran
8.18 malam - Malaysiakini mengunjurkan bahawa DAP akan kehilangan kerusi yang dipertahankannya di Pekan Nanas.
Ketika berita ini ditulis, MCA mendahului dengan majoriti 4,022 undi.
Dengan lebih 85 peratus undi telah dikira, Malaysiakini menganggarkan tidak cukup undi yang tinggal untuk merapatkan jurang.
Malaysiakini mengunjurkan bahawa BN juga akan mengekalkan kerusi Kukup. Majoriti Umno sebanyak 7,247 pada masa penulisan ini tidak dapat dipertikaikan.
Kedua-dua kerusi DUN itu terletak di bawah kawasan parlimen Tanjung Piai yang dimenangi BN pada pilihan raya kecil 2019.
BN dahului kiraan undi di 30 kerusi, PH di 11 kerusi
8.15 malam: Setakat ini, Pakatan Harapan mendahului 11 kerusi iaitu Jementah, Tangkak, Bentayan, Parit Yaani, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai.
BN mendahului 30 kerusi iaitu Pemanis, Kemelah, Bekok, Bukit Naning, Maharani, Semerah, Sri Medan, Yong Peng, Parit Raja, Senggarang, Machap, Layang-Layang, Mahkota, Paloh, Kahang, Endau, Tenggaroh, Pasir Raja, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Puteri Wangsa, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Pekan Nanas dan Kukup.
Perikatan Nasional pula berada di hadapan dalam kiraan undi di Bukit Kepong, sebuah kawasan DUN dalam parlimen Pagoh yang diwakili Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
Pejuang tunjuk prestasi buruk dalam pengundian awal
8.10 malam - Parti Pejuang pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menunjukkan prestasi buruk dalam pengundian awal.
Di kerusi di mana parti-parti terkemuka sudah mencapai kiraan empat angka seperti Bukit Kepong, Semerah, dan Paloh, Pejuang masih ketinggalan dengan dua digit.
Sementara itu, teraju parti itu untuk Johor - Shaharuddin Md Salleh - mengekori kiraan di Machap dengan hanya meraih 49 undi setakat ini manakala BN mendahului dengan 1,881 undi mengikut keputusan tidak rasmi.
'Hidup MB' sambut ketibaan Hasni
8 malam: Pusat gerakan BN - Penyokong BN melaungkan "tahniah" dan "hidup MB" bagi menyambut ketibaan Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.
Hasni yang jelas nampak ceria dijangka akan terus memegang jawatan menteri besar jika BN menang dalam PRN ini.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan kiraan tidak rasmi menunjukkan BN mendahului di 44 daripada 56 kerusi, termasuk Paloh yang sebelum ini dipegang PH.
MCA mendahului DAP di Yong Peng, Pekan Nanas
7.40 malam: MCA mendahului DAP di dua kerusi yang disandang parti komponen PH itu, iaitu Yong Peng dan Pekan Nanas.
Di Yong Peng, BN jauh mendahului dengan 6,003 undi berbanding PH dengan 4,464 undi. PN pula mendapat 1,093 undi.
Di Pekan Nanas, MCA meraih 5,201 undi manakala PH dengan 3,552 undi. PN mendapat 1,287 undi.
Sementara kiraan di kebanyakan kerusi masih di peringkat awal, lebih daripada separuh undi telah dikira di Yong Peng dan Pekan Nanas.
Ini bermakna DAP kian sukar untuk mengejar MCA di dua keris ini.
DAP bagaimanapun mendahului di hampir semua kerusi tradisinya yang ditandingi MCA.
‘BN mendahului di 43 kerusi’
7.40 petang: Pusat gerakan BN - Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan BN kini mendahului di 43 daripada 56 kerusi.
Antara kerusi yang didahului mereka dengan perbezaan 1,000 undi adalah N17 Semerah dan N18 Seri Medan.
Ahmad juga berkata BN kini mendahului di Bentayan.
"Jika kita menang di Bentayan, ia adalah satu keajaiban," kata ahli parlimen Pontian itu.
Dia turut mengumumkan ketibaan sejumlah pemimpin Umno, antaranya Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, yang menurutnya adalah faktor kepada kemenangan BN di kem tentera di negeri itu.
Muda mendahului di 3 kerusi
7.30 petang: Muda memberi saingan kepada BN dalam kiraan awal walaupun kebanyakannya adalah undi askar dan polis yang lazimnya berpihak kepada BN.
Di Puteri Wangsa, Muda di depan dengan 144 undi, meninggalkan BN yang meraih 127 undi. PN pula dengan 59 undi.
Ketua Penerangan Muda Luqman Long berkata partinya berjaya mendapat majoriti undi pos.
"Muda menang undi pos di Puteri Wangsa," katanya.
Di Tenang, Muda juga di depan dengan 571 undi, manakala BN meraih 232 undi. PN pula dengan 173 undi.
Bagaimanapun parti itu jauh ketinggalan di Bukit Permai apabila hanya mendapat 30 undi. BN di depan dengan 231 undi, diikuti PN dengan 118 undi.
Perlu dinyatakan bahawa di kebanyakan kawasan, undi pos dan undi awal hanya merangkumi bahagian kecil keseluruhan undi.
'Yong Peng dalam bahaya' - DAP
7.20 malam: Pusat Operasi MCA di Yong Peng - Lebih 100 penyokong berkumpul di sini untuk menonton penstriman langsung keputusan tidak rasmi.
Mereka bersorak apabila keputusan tidak rasmi menunjukkan calon MCA Ling Tian Soon mendahului kiraan undi.
Antaranya ialah Lim Choon Soon, ahli MCA berusia 67 tahun yang telah menganggotai parti itu selama lebih setengah abad.
Dia berkata hadirin lebih ramai berbanding sebelum tahun ini dan percaya Ling berpeluang untuk menang.
“Tidak seperti pilihan raya lalu, mereka (PH) mendapat kemenangan besar.
"Saya harap Ah Soon (calon MCA) boleh menang kerana dia telah berusaha untuk tempat ini," kata Lim.
Yong Peng ialah kerusi sasaran utama MCA yang DAP akui dalam keadaan bahaya.
PH tak positif jika peratus keluar undi rendah
7.15 malam: Pusat Operasi Pakatan Harapan - Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menjangkakan kadar keluar mengundi kurang 60 peratus.
“Secara amnya kita tahu jika kadar pengundian rendah, ia tidak positif untuk PH.
"Bagaimanapun, kami sentiasa berharap boleh mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihan raya negeri," kata Loke.
Aktor Ady Putra turun bantu BN
7.10 malam: Pusat Operasi BN - Pelakon Ady Putra (gambar, atas) antara penyokong BN yang dilihat dalam khalayak ramai memantau siaran langsung keputusan tidak rasmi ketika pengiraan diteruskan.
“Saya sudah berada di Johor selama lebih kurang seminggu.
"Saya berada di Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang bersama calon-calon, kami turun ke banyak daerah mengundi. Dan hari ini saya di Johor Baru," kata Ady Putra yang terkenal antara lain dengan wataknya dalam filem KL Gangster 2 pada 2003.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan ketibaan pemimpin BN termasuk presiden MCA Wee Ka Siong dan ketua Puteri Umno Zarida Zariq Khan.
"Jaga jarak anda, jika kami menang tetapi kami dapat Covid, ia tidak berbaloi," katanya.
7 petang: Seperti yang sudah dijangka dan biasa dilihat dalam pilihan raya sebelum ini, BN berada di depan di peringkat awal kerana undi pos dan undi awal lazimnya dikira terlebih dahulu.
Undi-undi ini kebanyakannya daripada pengundi polis dan tentera yang cenderung untuk menyokong BN.
Mereka meletakkan BN di depan di beberapa kerusi termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Senai, Pekan Nanas, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Skudai dan Kota Iskandar.
Menariknya, PN juga berjaya mendapat sebahagian daripada undi ini dan pada masa ini berada di tempat kedua di kebanyakan kerusi-kerusi di atas.
Undi untuk PH biasanya meningkat kemudian memandangkan kebanyakan penyokongnya adalah pengundi di kawasan bandar, di mana proses kiraan mengambil sedikit masa.
BN dahului 461 undi di Tanjung Surat
6.45 petang: Pusat operasi BN - Pengumuman secara langsung keputusan tidak rasmi sedang berlangsung, menonjolkan kerusi yang mana BN mendahului pengiraan.
Kebanyakan dari 56 kerusi menunjukkan hanya satu atau dua saluran mengundi telah selesai dikira.
Di N39 Tanjung Surat, BN mendahului dengan 461 undi dari empat saluran yang telah dikira, dari 53 saluran keseluruhan. PN mengekori dengan 168 undi, diikuti PKR 11 dan Pejuang 1.
Di N46 Perling, PH mendahului dengan 293 pengundi dari satu saluran yang telah dikira, dari 172 saluran keseluruhan, diikuti rapat oleh PN dengan 231 undi dan sifar kepada BN.
Analisis: Pengundi baru mungkin tampung peratusan mengundi rendah
6.35 petang: Setakat empat petang, kadar keluar mengundi adalah 50 peratus, jauh berbeza dengan kadar 61 peratus pada empat petang dalam PRN Melaka.
Kadar keluar mengundi bagi PRN Melaka, yang tamat pada 5.30 petang, adalah 65.85 peratus.
Kadar akhir bagi PRN Johor belum diumumkan namun ia dijangka hampir 60 peratus.
Sekali imbas, kadar ini seperti jauh merosot namun PRN Johor adalah pilihan raya pertama selepas pelaksanaan sistem pendaftaran automatik, serta had umur baru layak mengundi, iaitu 18 tahun.
Sistem pendaftaran automatik telah menyebabkan jumlah pengundi meningkat sebanyak 42.89 peratus.
Jangkaan awal Malaysiakini mendapati kadar keluar mengundi (bilangan sebenar pengundi) akan hampir sama dengan ketika PRU 2018, iaitu sekitar 1.5 juta orang, walaupun kadar mengikut peratusan adalah rendah.
Pada PRU 2018, seramai 1,503,995 daripada 1,817,999 pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi.
Dalam PRN kali ini, jika kadar keluar mengundi sekitar 60 peratus, ia bermakna hampir 1.5 juta daripada 2,597,742 orang yang layak mengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Secara ringkasnya, pengundi baru telah menampung jangkaan peratusan mengundi yang rendah akibat wabak Covid-19.
Bagaimanapun parti yang menjadi pilihan mereka hanya akan diketahui beberapa jam lagi.
6.15 petang: Pusat operasi BN - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba. Dia membayangkan BN sedia untuk memeterai persetujuan dengan pembangkang jika pihaknya menang.
Namun Zahid berkata ia mungkin tidak perlu jika BN berjaya meraih majoriti dua pertiga.
"Setakat ini kita buka pintu untuk kerjasama dengan mana-mana parti yang berdaftar. Tetapi kalau kita dapat (majoriti) dua pertiga maka kerjasama tak bererti," katanya.
Dia juga berkata BN akan mempertimbang untuk memberi peruntukan kepada semua Adun, termasuk pembangkang.
6 petang: Tamat waktu mengundi bagi PRN Johor kali ini.
Semua pusat mengundi secara rasmi ditutup.
Pemimpin setiap parti yang bertanding kini menuju ke pusat operasi pmasing-masing di mana mereka akan membuat pengiraan undi, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Maklumat itu dikumpul daripada ejen parti di setiap pusat daerah mengundi (DPM) dan sumber bagi keputusan tidak rasmi.
Keputusan rasmi daripada SPR biasanya diumumkan kemudian.
Menurut prosedur SPR, undi dikira di setiap PDM sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana jumlah keseluruhan undi akan dikira.
Kiraan semula, jika ada, hanya boleh dibuat di PDM.
Berikut adalah tempat perkumpulan parti-parti:
Pakatan Harapan - Le Grandeur Palm Resort di Senai, Johor
Perikatan Nasional - Impiana Hotel Senai di Senai, Johor
BN - Ibu pejabat Umno Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru
Muda - Jalan Rusa, Johor Bahru