Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR beri izin bersyarat kepada pengundi berstatus PUI, PUS
Diterbitkan:  Mar 11, 2022 3:17 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

PRN JOHOR | Pengundi yang berstatus pesakit yang sedang disiasat (PUI) atau yang sedang dalam pemantauan (PUS) diberi kebenaran mengundi esok, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun menurut kenyataan yang dikeluarkan badan itu petang ini, kebenaran berkenaan adalah bersyarat.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata proses pembuangan undi untuk individu yang bergejala akan dijalankan di khemah khas serta dipantau oleh pegawai kesihatan.

Katanya pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

"Pengundi yang berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveilance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, pejabat kesihatan daerah yang mengawasi arahan perintah pengawasan dan pemerhatian berkenaan (sebelum) keluar sementara ke pusat mengundi.

"Kebenaran ini tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh pegawai kesihatan daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menggesa SPR dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan sama ada pengundi yang didapati positif Covid-19 dibenarkan mengundi.

"Salam @sprgovmy. Boleh seseorang yang Covid-19 positif mengundi dalam #PRNJohor esok? Jika ya, bagaimana? Yang bergejala? Yang tidak bergejala?

"YB @Khairykj tolong jelaskan perkara ini," katanya.

Isu keselamatan pengundi terus menjadi perhatian ketika KKM merekodkan 30,787 kes baru semalam dengan 2,220 daripadanya dikesan di Johor.

Sepanjang tempoh berkempen juga sejumlah calon, pemimpin parti politik dan petugas media disahkan dijangkiti Covid-19.

Kata Ikmalrudin semua pengundi juga diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran masing-masing serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Tambahnya sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat pengundian esok dan pengundi perlu menggunakannya di empat stesen dalam pusat mengundi terbabit.

Stesen itu ialah di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran iaitu selepas mencelup jari pada dakwat kekal dan sebelum menerima kertas undi, dan terakhir semasa sebelum keluar dari pusat mengundi.

"Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang masa dalam pusat mengundi," katanya.

Menurut Ikmalrudin sebanyak 1,021 pusat mengundi dengan 4,638 saluran akan dibuka untuk proses pemilihan esok. Ia akan dikendalikan 49,290 petugas SPR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS