ULASAN | Jika ada undang-undang antarabangsa yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan harian, kemungkinan besar keluarga Malaysia inilah yang akan tercatat sebagai warga yang paling ramai dijatuhi hukuman.
Jika Thailand, Indonesia dan Kemboja berbangga menggunakan bahasa ibunda mereka, kita lebih bangga apabila bercakap bahasa penjajah dalam majlis rasmi, dan bahasa rojak untuk aktiviti harian.
Dalam pelbagai sektor, bahasa Melayu hanya kelihatan kekampungan kerana kita lebih melihat isu bahasa jauh di belakang berbanding kepentingan ekonomi, politik dan kegiatan sosial.
Hari ini pejuang bahasa yang sedikit bilangannya hampir terkedu kerana perjuangan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pembuat dasar negara.
Malaysia ditadbir oleh manusia yang meletakkan siasah sebagai keutamaan. Percaturan politik disusun hanya untuk merebut dan mengekalkan kuasa. Mereka menggunakan kuasa untuk membeli undi dan mengolah sokongan sehingga amalan khianat kepada rakyat dan parti tidak lagi menjadi sesuatu yang aneh.
Pelbagai parti politik sudah mentadbir Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu namun bahasa Melayu tidak pernah diperjuangkan walaupun ada dilaporkan perdana menteri menggunakan bahasa kebangsaan ketika mengadakan lawatan ke negara jiran.
Ismail Sabri Yaakob berbahasa Melayu pada majlis rasmi bukanlah bermakna keluarga Malaysia sudah mengiktiraf bahasa kebangsaan.
Dihinggapi sindrom rendah diri
Beberapa bulan lalu seorang menteri berucap dalam bahasa Melayu pada majlis antarabangsa kerana diyakini dia memang kurang mahir berbahasa Inggeris!
Urusan harian kita yang kononnya urban lebih memihak kepada bahasa Inggeris. Sekadar membeli kondom dan tuala wanita di kedai 24 jam pun kita disapa dalam bahasa Inggeris.
Jika menelefon hotel lima bintang untuk menempah tempat untuk majlis berbuka puasa, kita akan disapa dalam bahasa Inggeris. Di restoran ala AS pun kita disapa dalam bahasa Inggeris waima untuk memesan dua ketul ayam, kentang goreng dan segelas Pepsi.
Ketika menempah tiket penerbangan di kaunter syarikat nasional, kita diajukan pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Dalam pesawat pula, pramugari menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Itu pun dengan pelat yang luar biasa.
"Thuan-thuan dan phuan-phuan, sila phakaai thali phinggan keleddar..."
Apakah ini citra keluarga Malaysia yang diperjuangkan oleh sebuah bangsa yang lebih setengah abad merdeka? Apakah Malaysia seperti negara membangun di Afrika dan Amerika Latin yang masih dihinggapi sindrom rendah diri dan meyakini bahasa pribumi tidak bernilai, kolot dan memalukan?
Apakah kita yakin bahawa kualiti bahasa Melayu masih rendah, tidak pernah meningkat dan sentiasa dipertikaikan? Persoalan ini amat wajar dilontarkan ketika martabat bahasa Melayu (sekarang sengaja ditukar bahasa Malaysia) masih dipertikai nilai ekonomi dan sosialnya.
Status bahasa Melayu amat terpinggir di negara sendiri. Walaupun penjajah sudah lama meninggalkan negara ini, bahasa Melayu tetap pinggiran oleh warganya sendiri.
Yang banyak memperkatakan maruah bahasa Melayu hanyalah kalangan ilmuwan, sasterawan dan ahli bahasa. Orang politik, ahli korporat, pentadbir dan pejuang hak asasi manusia lebih banyak berselindung di sebalik agenda masing-masing.
Jika memandu di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, papan iklan dan paparan skrin elektronik begitu ketara mengutamakan bahasa asing. Bahasa Melayu - kalau ada pun - sekadar berbasa-basi saja adanya.
Jika kita mahu Malaysia seiring dengan negara lain di pentas dunia, kehadiran bahasa Inggeris tidak boleh dielakkan. Ia memang memberi nilai tambah dan mengisi keperluan dalam apa bidang sekali pun.
Namun usaha memperkasa bahasa Melayu bukan bermakna mempertikaikan kepentingan bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan milik asal Tanah Melayu perlu didaulatkan. Merendahkan kedaulatan bahasa pribumi hanya mencalar nilai sejarah yang wujud ribuan tahun di Nusantara.
Tentang usaha leburkan bahasa Melayu
Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu bertebaran dari rantau Asia Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa disedari pengguna bahasa Melayu ada di merata-rata termpat, dari perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.
Memartabatkan bahasa Melayu ada kaitan dengan jati diri dan sistem sosial. Justeru, usaha mendaulatkan bahasa itu sepatutnya bukan halangan di Malaysia.
Dasar Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya tidak berlaku sama sekali. Tidak ada mana-mana negara yang beradat dan beradab tergamak meminggirkan bahasa sendiri untuk dua subjek penting itu.
Sasterawan Negara, A Samad Said, sudah memberi amaran akan wujudnya penghinaan berterusan terhadap bahasa Melayu apabila kerajaan tidak tegas.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri pernah mencatatkan kelantangan pada era Syed Nasir Ismail apabila ia begitu tegas menentang usaha meleburkan bahasa Melayu.
Syed Nasir bukan sekadar menjerit, bahkan menggunakan segala upaya yang ada padanya untuk memperkasakan bahasa Melayu ketika isu Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 hebat diperkatakan.
Kepala-kepala penyokong kerajaan
Malangnya DBP kini bagai seekor kucing dikembiri apabila hilang suara dalam isu bahasa. Kecuali seorang dua yang lantang, kita mengharapkan majalah terbitan DBP turut menyatakan pendirian dengan tegas dalam isu bahasa yang kerap diremehkan.
DBP tiada kuasa eksekutif untuk bertindak terhadap pencemar bahasa. Ketika isu ekonomi dan kehidupan berada di depan, bahasa ibunda jauh tertinggal di belakang.
Hari ini, amat wajar kita merenung penutup ucapan Allahyarham Asri Muda, tokoh PAS suatu ketika dulu ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 di Dewan Rakyat pada Mac 1967.
Di depan Perdana Menteri, Tunku Abd Rahman Putra, ketua pembangkang di parlimen itu berkata:
"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno... yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" (Keranda 152, halaman 20).
Apa yang Asri suarakan itu sedang berlaku. Bahasa menjadi alat untuk kepentingan yang lain. Pejuang bahasa pula ghairah dengan seminar dan membuat kunjungan bertemu orang politik.
Matlamat perjuangan mereka juga tidak jelas kerana bahasa Melayu masih terpinggir di mata korporat yang di belakang mereka ada orang politik dan bangsawan.
Konsep Keluarga Malaysia yang menjadi mantera harian pemimpin sekarang juga lebih kepada budaya popular. Perpaduan kaum dan kesamarataan masyarakat, kononnya. Yang pasti politik tidak pernah melupakan godaan berahi kuasa dan kekuasaan.
Isu bahasa tetap berlegar di kedai 24 jam. Bahasa Inggeris walaupun untuk kondom dan tuala wanita!
IMLAN ADABI ialah penulis dan wartawan sepanjang hayat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.