Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
3 dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Ampang

Tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi ditemukan dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan, manakala mangsa kedua seorang wanita ditemukan pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata setakat berita ini ditulis, masih terdapat tiga lagi mangsa yang tertimbus dan kerja-kerja mencari sedang dijalankan.

"Mangsa pertama berusia 84 tahun dan mangsa kedua yang telah ditemui sebentar tadi dipercayai merupakan pasangan suami isteri.

"Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pasukan penyelamat terdiri daripada pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Rakyat sedang sibuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemukan.

Dua jentera bersama anjing pengesan digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS