Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Lawan 'perasuah, penyangak' bukan untuk orang muda saja
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

PRN JOHOR | Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad semakin menggiatkan kempen parti itu menjelang hari pembuangan undi pada lusa.

Seperti biasa Mahathir menggunakan isu rasuah untuk menarik sokongan pengundi kepada parti berkenaan.

Kata ahli parlimen Langkawi itu, tugas melawan "perasuah, penyamun dan penyangak" itu bukan hanya terletak pada golongan yang masih muda.

Sebaliknya tambah Mahathir ia adalah tugas buat semua orang selagi mereka bernyawa.

"Perjuangan melawan perasuah-perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk (orang) yang muda saja. Selagi ada hayat perjuangan ini mesti diteruskan," katanya melalui surat terbaru kepada pengundi Johor.

Mahathir yang sebelum ini menjalani rawatan perubatan memberikan janji untuk menulis kepada pengundi Johor secara berkala sebelum mereka mengundi pada Sabtu ini.

Walaupun masih baru, Pejuang meletakkan calon di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

Isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi satu daripada bahan kempen untuk kebanyakan parti ketika Umno-BN menampilkan susuk seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai tokoh yang mengumpulkan sokongan orang ramai.

Najib sudah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, manakala Ahmad Zahid sedang dibicarakan di mahkamah.

Tambah Mahathir rasuah itu boleh diibaratkan seperti api dalam sekam kerana bahayanya tidak disedari ramai orang sehinggalah keadaan sudah terlewat untuk diselamatkan.

Kata bekas perdana menteri itu, Pejuang menentang orang yang melakukan kesalahan kembali mendapatkan kuasa.

"Parti Pejuang ditubuhkan untuk menentang penjenayah daripada kembali berkuasa kerana sudah tentu budaya buruk mereka - seperti tidak tahu malu - akan mempengaruhi kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS