Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke minta PM bertahan dari 'tekanan' Zahid mahu bubar parlimen

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar tindak tunduk kepada mana-mana "tekanan" yang mahukan pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

Menurut Anthony Loke (PH-Seremban) sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan PRU.

Kata Loke, banyak pihak tahu ketika ini Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, memberikan tekanan kepada kerajaan agar parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRU ke-15.

"Pokoknya sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

"Saya nak cadangkan kepada Bera (Ismail Sabri) supaya jangan tunduk kepada tekanan Bagan Datuk (Ahmad Zahid).

"Kita tau Bagan Datuk akan tekan... minggu depan akan tekan (supaya) buat PRU, bubar parlimen," katanya semasa membahas titah ucapan diraja, hari ini.

Kata Loke, buat masa ini kerajaan wajar mengutamakan hal-hal berkaitan rakyat seperti meluluskan rang undang-undang akta antilompat parti.

Tambahan pula katanya ketika ini PH dan kerajaan mengikat memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada pertengahan Sept tahun lalu dan sah sehingga 31 Julai ini.

Kata Loke, kerjasama itu boleh diteruskan lagi melalui MOU kedua sehingga penggal parlimen tamat pada 2023.

Buktikan semangat Keluarga Malaysia

"Sementara waktu ini Covid-19 belum reda, kita tangguh dulu pilihan raya... mungkin sehingga akhir tempoh parlimen ini," katanya.

Loke yang juga setiausaha organisasi DAP menambah MOU kedua itu boleh dijadikan kenyataan jika Ismail Sabri menepati semua janji yang diikrar dan dipersetujui dalam persefahaman sebelum ini.

Antaranya kata Lok ketetapan agar semua ahli parlimen - termasuk pembangkang - diberikan peruntukan pembangunan yang sama walaupun siapa yang menjadi kerajaan.

"Ini merupakan agenda yang penting untuk rakyat, yang adil untuk rakyat," katanya.

Selain itu tambah Loke isu lain yang melibatkan kepentingan umum boleh diusahakan seperti pemilihan jawatan utama dalam kerajaan termasuk peguam negara dan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Katanya ada banyak lagi agenda reformasi yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan secara bersama dalam tempoh yang ada.

"Kalau betul Bera mengatakan kerajaan ini kerajaan Keluarga Malaysia, pastikan konsep dan semangat Keluarga Malaysia bukan saja untuk tempoh yang pendek tapi diserapkan dalam minda kita, dalam dasar-dasar kerajaan.

"Sebab itu saya harapkan apa yang dilaksanakan dalam MOU ini akan menjadi teladan kepada rakyat bahawa demokrasi di negara ini boleh disuburkan.

"Kita boleh berlawan dalam pilihan raya tapi ia tidak menafikan adanya ruang untuk kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS