Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM sedih: PH sama macam Umno isu pengeluaran KWSP
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

PSM menuduh pendirian pemimpin Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng kini sama dengan Umno mengenai pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata dia "sangat sedih" melihat Anwar dan Lim berbuat demikian kerana hal tersebut akan menghabiskan simpanan golongan miskin.

Arutchelvan berkata kenyataan seperti itu daripada Anwar dan Lim juga menggambarkan bahawa golongan elit politik telah muflis idea apabila ia datang untuk menyelesaikan masalah golongan miskin.

"Cuba menjadi populis apabila akibatnya amat teruk dan jauh. Ahli parlimen mendapat pencen yang besar tidak peduli tentang dana persaraan kelas pekerja.

"Kami menganggap langkah ini hanya akan menjadikan pekerja lebih miskin dalam jangka masa panjang. Ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan MOU, ia juga menunjukkan bahawa ahli politik akan melakukan apa sahaja untuk menang pilihan raya walau apa pun caranya," kata Arutchelvan (gambar, bawah).

Kedua-dua Anwar dan Lim mendakwa mereka telah menerima maklum balas daripada pengundi Johor bahawa mereka memihak kepada pengeluaran awal KWSP.

Lim yang pernah mengkritik skim sedemikian yang dimulakan sebagai tindak balas kepada pandemik Covid-19, kini melunakkan pendiriannya semasa kempen pilihan raya Johor.

Dakwanya, pengeluaran KWSP itu merupakan salah satu daripada enam kebimbangan utama dalam kalangan pengundi.

Lim menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran sekurang-kurangnya RM5,000 kepada pencarum yang memerlukannya.

Sehingga Oktober tahun lepas, kira-kira 7.4 juta pencarum KWSP telah mengambil kesempatan daripada skim bantuan berkaitan Covid-19 untuk mengeluarkan RM101 bilion.

Menurut KWSP, 73 peratus pencarum tidak akan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara di atas garis kemiskinan dan usaha membantu pencarum menambah dana mereka akan dilakukan pada masa hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS