Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar turut desak kerajaan izin pengeluaran KWSP
Diterbitkan:  Mar 9, 2022 8:47 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menyegerakan kebenaran pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Pakatan Harapan itu menakwa pengeluaran KWSP adalah penting untuk rakyat selepas kerajaan gagal menyelesaikan isu banjir yang mengakibatkan kerugian kepada ramai orng.

"Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini di Dewan Rakyat tahun lalu, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka pada masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular dalam kalangan rakyat, katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah Anwar pada masa itu dia meletakkan syarat kepada kerajaan agar mereka dapat menampung kerugian yang dialami mangsa banjir sekiranya Putrajaya enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

Setelah berbulan-bulan berlalu, katanya, kerajaan dilihat tidak mempedulikan desakan tersebut.

"Justeru, setelah kami melihat kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung saranan agar pengeluaran KWSP dibenarkan segera," katanya.

Tambah ahli parlimen Port Dickson itu lagi, proses pengeluaran KWSP perlu dibuat tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mengakui rakyat mahu kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan KWSP selepas mendapatkan maklum balas ketika kempen pilihan raya negeri.

Katanya, pengeluaran KWSP antara enam isu utama yang disuarakan pengundi Johor.

Di tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang bermula pada 2020, kerajaan telah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP mereka sebanyak tiga kali.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi amaran bahawa pengeluaran selanjutnya akan menyaksikan ramai orang bersara tanpa simpanan mencukupi.

Untuk rekod, Kementerian Kewangan pada awal bulan ini memberitahu tiga pengeluaran khas KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.

Kementerian juga berkata jumlah itu melibatkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion dan bayaran bagi pengeluaran i-Citra berakhir pada Februari 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS