Khabar angin yang mengatakan produk sejuk beku cincin sotong diperbuat daripada dubur babi baru-baru ini tersebar di internet, bahkan mendorong pihak kerajaan untuk menyiasat perkara itu.
Syarikat terbabit hari ini mengadakan sidang media di Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi tadi untuk menangkis khabar angin berkenaan dan menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap warganet yang menyebarkan dakwaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon berkata, mereka mendapati dua netizen menyebarkan khabar angin itu di Facebook untuk memburuk-burukkan produk cincin sotong keluaran syarikat induk mereka, Dayou Group di China.
Netizen terbabit mendakwa, cincin sotong tersebut tidak halal kerana diperbuat daripada dubur babi.
Rodney berkata khabar angin itu menimbulkan panik di kalangan orang ramai dan merosakkan imej serta menjejaskan jualan produk mereka, menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Wakil Perkhidmatan Pensijilan Halal Shandong di Malaysia, Abd Aziz Jamaluddin, Pengarah Shen Hua Resources, Koh Sing Yee dan Pengurus Khir Beng Tecj & Son Fisheries Sdn Bhd, Alicia Khor.
Menurut laporan polis yang diperoleh pada sidang media itu, Rodney dan Alicia membuat laporan polis semalam dan kelmarin berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap produk syarikat mereka.
Dia menggesa pihak polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya menyiasat dan membersihkan nama syarikat itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan membuat pendakwaan kerana memfitnah.
Selain itu, Rodney berkata pihaknya juga akan menyaman individu yang menyebarkan khabar angin itu selepas berbincang dengan peguam.
Rodney juga menjelaskan mereka juga akan melaporkan kepada Biro Pengaduan Awam Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu.
Dalam sidang media itu dia turut menunjukkan kepada media proses penghasilan cincin sotong berkenaan dan sijil halal yang diperoleh untuk produk berkenaan.
Disahkan secara tidak langsung oleh JAKIM
Mengikut dokumen pensijilan halal yang diberikan, cincin sotong itu disahkan oleh Shandong Halal Certification Services Sdn Bhd (SHC), yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan pensijilan halal asing di China.
Bercakap pada sidang akhbar itu, Aziz mempertahankan cincin sotong berkenaan dan mengatakan cara terbaik untuk menyelesaikan isu itu ialah dengan menghantar produk berkenaan untuk menjalani ujian makmal.
"Untuk menyelesaikan masalah ini, ia semudah mengambil semua cincin sotong yang diimport ke dalam bekas dan menghantarnya untuk ujian," katanya.
Rodney berkata mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyediakan maklumat mengenai produk tersebut.
Dalam pada itu dia turut melahirkan rasa kesal terhadap siasatan Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Katanya, siasatan pihak berkuasa dibuat di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Selangor dengan sampel turut diambil untuk ujian.
Bagaimanapun, Soon berkata walaupun selepas lima hari sejak dakwaan itu tular, tiada laporan dikeluarkan, sekali gus menjadikannya mustahil bagi syarikat itu untuk menafikan tuduhan berkenaan.
Dia berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga telah memanggil peniaga untuk disoal siasat, yang disifatkan sebagai satu gangguan dan tidak adil kepada mereka.
Soon meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil perhatian terhadap perkara itu dan memastikan laporan pemeriksaan dikeluarkan secepat mungkin.