PRN JOHOR | Ismail Sabri Yaakob berkata ada pihak tertentu yang cuba "merosakkan fikiran" golongan peneroka Felda yang dianggap sebagai penyokong tegar Umno.
Kata perdana menteri sebahagian besar peneroka terbabit adalah Melayu dan kebiasaannya mereka penyokong setia Umno-BN, jsuteru mereka dianggap sebagai 'simpanan tetap' kepada parti berkenaan.
"Sebab itu ada pihak-pihak yang cuba merosakkan fikiran golongan peneroka dan generasi kedua Felda dengan memainkan isu-isu yang saya anggap semuanya tak betul," katanya kepada media di Felda Lok Heng Timur di Sedili, hari ini.
Ketika kempen terus dipergiatkan sesuai dengan tarikh pembuangan undi yang semakin hampir, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan pelbagai isu kelemahan Felda untuk menarik sokongan peneroka daripada Umno-BN.
Kata Ismail Sabri, dia difahamkan kira-kira 80 peratus pengundi di kawasan Kota Tinggi terdiri daripada warga Felda. Johor sendiri, tambah naib presiden Umno itu lagi, merupakan negeri kedua terbesar mempunyai kawasan petempatan peneroka Felda selepas Pahang.
Pun begitu katanya dia melihat penduduk di kawasan Felda tidak terpengaruh dengan pendekatan diambil PH dan PN.
Ismail Sabri berkata pendapatan peneroka Felda adalah tinggi dan tidak ada sebarang masalah kepada mereka, termasuk dari segi pendapatan.
"Walaupun ramai rakyat Malaysia yang saya pasti menghadapi kesukaran setelah Covid-19, tapi tiada isu pendapatan di Felda.
"Pendapatan mereka tinggi. Saya difahamkan ada yang sampai RM10,000 sebulan," katanya lagi.
Bantu generasi kedua
Menurutnya peneroka Felda adalah antara generasi paling bertuah di negara ini kerana memperoleh pendapatan yang tinggi ekoran peningkatan harga kelapa sawit menjadi RM8,000 bagi setiap tan bahan komoditi berkenaan.
Ahli parlimen Bera itu juga memberitahu kerajaan pusat dan negeri merancang untuk memberikan bantuan kepada pemberi rumah pertama dalam kalangan generasi kedua Felda.
Langkah itu katanya dibuat dengan menawarkan 3,200 plot tanah negeri untuk dijual dan dibangunkan oleh pembeli individu.
Katanya projek itu yang diumumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 berbeza daripada skim terdahulu yang menyaksikan kediaman dibina tetapi tidak terjual kerana pelbagai isu, termasuk kegagalan mendapatkan pinjaman apabila generasi kedua peneroka tidak memiliki slip gaji.
"Kerajaan memperuntukkan RM60 juta untuk projek infrastruktur di sekitar plot tanah tersebut dan ia ditanggung bersama oleh kerajaan pusat dan negeri," katanya.
Terdahulu Ismail Sabri bersama Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique menyerahkan geran bernilai RM4.2 juta kepada wakil-wakil kumpulan rukun tetangga di seluruh Johor.
Terdapat dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Kota Tinggi iaitu Sedili dan Johor Lama.
BN meletakkan Muszaidi Makmor untuk kerusi Sedili manakala Norliza Noh di Johor Lama.