Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRN JOHOR | Di tengah-tengah kelaziman politik partisan yang ada kala sehingga meminggirkan isu penting, pandangan pemimpin wanita mungkin dapat memberi perspektif yang berbeza.

Sempena Hari Wanita Sedunia semalam, Malaysiakini bercakap dengan calon wanita PRN Johor untuk bertanya tentang agenda yang dibawa.

Mereka juga ditanya berkenaan penukaran agama sepihak terhadap tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong. Bagaimanapun ada juga yang tidak ingin mengulas isu yang kontroversi dan sukar itu.

Dalam PRN kali ini, 37 daripada 239 calon yang bertanding adalah wanita.

Berikut adalah respons mereka. Jika isu penukaran agama sepihak tidak disebut, ia bermakna calon enggan mengulasnya.


N19 Yong Peng: Susan Yong Fui Ling (PN-Gerakan)

Agenda utama

Menjaga kebajikan golongan wanita, khususnya masalah yang dihadapi ibu tunggal

Membantu wanita dan ibu tunggal yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan, memberi peluang latihan kepada wanita yang kehilangan sumber pendapatan agar mereka dapat terus berdikari dalam menghadapi cabaran kehidupan.


N41 Puteri Wangsa: Amira Aisyah Abdul Aziz (Muda)

Agenda Utama

Antara agenda utama saya ialah mengenai peluang pekerjaan untuk ibu tunggal. Kita tahu ibu tunggal layak mendapat bantuan kebajikan, tetapi pada kebanyakan masa jumlahnya tidak mencukupi.

Apa yang perlu kita lakukan ialah membantu mereka untuk bebas daripada bantuan kebajikan, termasuk melalui penawaran latihan kemahiran vokasional yang relevan.

Kedua, saya juga ingin membangkitkan isu kemiskinan haid. Ini adalah isu yang bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar tetapi juga di lebih banyak kawasan bandar.

Kita perlu memastikan bahawa wanita memiliki akses barangan asas ini dengan harga yang berpatutan.

Isu Loh

Mahkamah telah membuat keputusan dan saya percaya kita semua harus menghormati keputusan itu. Saya menggesa jabatan agama negeri bahawa isu ini berkaitan belas ihsan.

Ia adalah isu kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Kita tidak harus menjadikannya sebagai siu perkauman atau agama.


N43 Permas: Mahaya Ahad (Pejuang)

Agenda utama

Jika saya menang di Permas, isu wanita dan keluarga sudah tentu menjadi keutamaan kerana wanita adalah tonggak keluarga.

Wanita hari ini mampu melakukan apa sahaja, untuk bekerja, memulakan perniagaan atau walaupun mereka memilih untuk menjadi suri rumah.

Kita mesti memperkasa dan meningkatkan kedudukan wanita. Kita mesti memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Misalnya isu pendidikan, bagaimana wanita masa kini perlu menyediakan persekitaran rumah yang stabil, peranti elektronik dan lain-lain untuk menyokong pelajaran anak-anak mereka. Inilah impian saya.


N47 Kempas: Napsiah Khamis (PKR)

Agenda utama

Dua isu utama kami ialah ekonomi dan kebajikan wanita. Apabila kita bercakap tentang ekonomi wanita, ada segmen usahawan yang boleh dibantu. Kita boleh menawarkan latihan percuma dan kemudahan lain untuk membantu perniagaan mereka berkembang.

Mengenai kebajikan, kita ingin memastikan wanita dan ibu mendapat hak mereka yang sewajarnya. Walaupun dalam kesusahan, masih ramai yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Kita tidak mahu peruntukan itu hilang begitu sahaja jadi kita akan pastikan semua peruntukan untuk wanita akan sampai kepada mereka.

Isu Loh

Kita tidak seharusnya mencampuradukkan isu kepercayaan agama dan hak penjagaan. Jika kita lihat kes di Perlis baru-baru ini, kita tidak boleh menafikan hak seorang ibu terhadap anak-anaknya.

Malah Islam melarang kita memutuskan hubungan kekeluargaan. Dalam kes ini, mahkamah juga telah memberikan hak penjagaan ibu kepada anak-anaknya, jadi keputusan itu harus dihormati.


N4 Kemelah: Normala Sudirman (PN-PAS)

Agenda utama

Antara agenda pembangunan wanita yang ingin dibawa sekiranya diberikan mandat menjadi wakil rakyat di DUN Kemelah adalah meninggikan martabat wanita menerusi pendidikan berkenaan hak wanita, untuk lebih memahami tanggungjawab kita dan pembelaan yang ada di sisi undang-undang.

Saya juga ingin meningkatkan lagi kegiatan sosioekonomi wanita, terutama di Kemelah.


N8 Bukit Pasir: Elia Nadira Sabudin (PH-Amanah)

Agenda utama

Kita boleh lihat wanita sering dikaitkan dengan isu keganasan rumah tangga. Semasa PKP, wanita adalah antara kalangan yang mengalami tekanan berat, yang membawa kepada kemurungan dan isu-isu lain. Sebaik saja itu berlaku, mereka lebih mudah untuk menjadi mangsa keganasan.

Sebagai calon wanita, saya akan membangkitkan isu ini dengan membuka lebih banyak saluran untuk mereka mendapatkan bantuan. Sebagai seorang wanita, kita dapat memahami wanita lain dengan lebih baik.

Isu Loh

Agama adalah hak individu. Tetapi sebagai seorang beragama Islam, saya tidak menggalakkan penukaran agama secara sepihak.

Kita harus berpegang pada kepercayaan agama kita, tetapi saya tidak menyokong penukaran agama sepihak.


N48 Skudai: Marina Ibrahim (PH-DAP)

Agenda utama

  • Pemerkasaan wanita dalam sektor ekonomi melalui bantuan dan latihan bagi usahawan-usahawan wanita

  • Usaha advokasi dalam isu kesihatan mental dan perancangan keluarga, serta menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan untuk wanita, seperti pemeriksaan mamogram.

  • Membangunkan pusat sehenti mengenai hak dan dasar melibatkan wanita untuk membela mereka yang memerlukan.

Isu Loh

Penukaran agama kanak-kanak di bawah umur memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa seperti yang termaktub dan Perlembagaan Persekutuan. Jika berlaku penceraian, agama kanak-kanak perlu dikekalkan. Tunggu sehingga mereka mencapai usia 18 tahun apabila mereka boleh membuat keputusan sendiri.

Isu penukaran agama sepihak selalunya melibatkan seorang ibu yang mana anaknya ditukar agama, kemudian tidak dibenarkan jumpa. Lihatlah dari perspektif ibu, dipisahkan dari anak-anak dan kemudian agama anaknya ditukar. Bayangkan perasaan seorang ibu dalam situasi itu.

Sebab itu saya percaya penyelesaian terbaik adalah untuk ikut duluan Mahkamah Persekutuan bahawa penukaran agama kanak-kanak perlu kebenaran kedua-dua ibua dan bapa.


N15 Maharani: Nor Hayati Bachok (PH-Amanah)

Agenda utama

Satu daripada tiga teras utama kami adalah untuk membina semula ekonomi rakyat dan memastikan kesejahteraan mereka. Sudah tentu, ia merangkumi wanita yang memerlukan bantuan, daripada ibu tunggal kepada profesional yang mungkin bergelut untuk membina semula kerjaya mereka akibat pandemik Covid-19.

Kini terdapat ramai yang diberhentikan kerja kerana Covid-19, dan ramai yang berdepan isu kesihatan mental.

Isu tadbir urus yang baik juga dikaitkan dengan wanita. Di Maharani dan banyak lagi kerusi di Johor, wanita merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah pengundi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS