Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Mungkin itulah yang dikatakan orang sebagai rahmat tersebunyi. Pada setiap dugaan dan kesulitan, ada cahaya yang menyinari hidup kita untuk dijadikan pedoman.

Kerana itu di sebalik kesulitan seperti cuaca tidak menentu di negara kita yang tidak terjejas dengan kesan perubahan iklim dunia ini, alangkah bertuahnya kita apabila sekali lagi dapat menyaksikan bagaimana sebuah ambulans perlu berkorban demi pemimpin negara.

Sebenarnya dipercayai fenomena ambulans atau rakyat yang menghadapi kecemasan perlu berkorban demi pemimpin negara atau orang politik ini bukanlah asing. Ia diyakini berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dulu.

Cuma bezanya ketika itu kita belum menikmati keajaiban media sosial. Dan dunia bergerak lebih 'lambat' secara relatifnya. Biasalah, apa yang berlaku hari ini hanya akan tersebar dengan meluas keesokan hari melalui akhbar.

Liputan media elektronik pula ketika itu berada dalam genggaman menteri.

Sehari dua lalu kita menyaksikan bagaimana bertuahnya negara apabila ada ambulans berpeluang melakukan pengorbanan besar untuk pemimpin kesayangan ramai. Pedulilah siapa pun yang ada di dalam kenderaan yang sirennya meraung-raung itu. Mungkin dia tidak berada dalam keadaan di antara hidup dan mati pun.

Kalau pun dia bergelut dengan nyawa, bukankah pemimpin negara itu jauh lebih penting daripada rakyat. Di negara ini, ia memang begitulah. Kerja rakyat tidak ada yang lain kecuali menyembah pemimpin. Sama ada secara suka lagi rela, atau terpaksa.

Bangsa lain pun curiga

Ia dapat disaksikan di semua jabatan kerajaan atau pun swasta. Matlamat yang terzahir dan hakiki setiap kakitangan ialah berkhidmat untuk badan, agensi, syarikat atau yang seumpamanya.

Namun matlamat tersirat pula ialah memastikan bos tidak berasa jengkel. Kefahaman itu ditanam sejak awal lagi, iaitu di bangku sekolah.

Sama ada secara langsung atau tidak, anak-anak bangsa kita dibentuk sebegitu - usah mencari marah ketua. Kalau kerja, kerjalah dengan bersenang-senang saja.

Kerana itulah negara kita ini mencapai tahap kemajuan yang amat membanggakan sehingga mengundang curiga bangsa lain.

Berkenaan insiden ambulans diarah berhenti untuk membolehkan konvoi perdana menteri melintas itu, ia adalah tindakan paling wajar sebenarnya. Kalau boleh, biarlah kenderaan lain itu ditahan daripada bergerak di jalan raya selama mungkin.

Kalau boleh biar sampai orang kenamaan itu sampai ke rumah masing-masing.

Gambar fail.

Bayangkan kalau konvoi perdana menteri diarah berhenti untuk memberi laluan kepada ambulans. Terlalu banyak risiko yang akan ditanggung negara. Perdana menteri mungkin terlewat sampai beberapa minit ke majlis yang akan meraikan dia dengan penuh gilang-gemilang.

Tentu orang ramai akan menangis tersedu-sedan kerana pemimpin kesayangan mereka terlewat sampai. Ia juga mungkin akan menjejaskan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara.

Tidak ketinggalan pentingnya juga, pelabur juga mungkin akan menjauhi Malaysia!

Lebih daripada itu, kita kena faham; orang politik mana boleh dihentikan. Nafsu dan kemahuan mereka sentiasa luar biasa.

Tapi biasalah. Untuk mengimbangi kesibukan dan pengorbanan orang politik lalu-lalang di jalan raya yang terbentang luas itu, mereka sesekali akan berkorban juga.

Bukan hanya rakyat yang berkorban, ya. Orang politik dan pembesar negara juga tahu meluangkan masa untuk rakyat.

Misalnya mereka akan berhenti seketika apabila 'terjumpa' kemalangan. Mereka akan keluar dari kenderaan penuh mewah dan gah itu bersama wajah yang penuh kasih sayang untuk bertanya khabar itu ini, dan mungkin menghubungi ambulans.

Bila lagi nak guna kemudahan

Ambulans pula tentu akan bergegas secepat mungkin untuk sampai.

Ia adalah pemandangan yang agak lazim di negara ini. Sesekali orang kenamaan akan kebetulan lalu di kawasan berlaku kemalangan dan naluri kasih sayang mereka akan segera membuak-buak.

Kadang-kadang kemalangan itu juga kebetulan berlaku ketika orang kenamaan tersebut sedang memerlukan sesuatu untuk memulihkan imej mereka yang tercalar di sana sini.

Lantaklah apa pun jadual yang sibuk menanti di depan. Mereka akan keluar dan 'membantu'. Ia memang berlaku ketika kita semua menikmati teknologi dan komunikasi terkini yang membolehkan seseorang mengetahui status sesebuah laluan sedang sibuk atau tidak.

Bagi sesetengah orang kenamaan pula, rasanya mereka memang selalu ditakdirkan turun ke jalan raya semasa orang lain sedang sibuk dan rimas menghadap kesesakan trafik. Kita pun dapat memahami kerana itulah gunanya kemudahan yang disediakan negara kepada mereka, kan?

Kalau tidak, bila lagi nak digunakan segala pegawai, pengiring dan kemudahan yang ada itu.

Kemudian mereka - iaitu orang kenamaan dan pada menteri berkenaan - akan membuka mulut untuk mengeluarkan kata-kata penuh dengan hikmah.

Menasihatkan orang ramai agar jangan lalu di kawasan banjir kilat, misalnya. Atau mengingatkan kepada marhaen agar berjaga-jaga kalau berlaku hujan ribut dan berpindah ke tempat selamat apabila diancam bahaya.

Itu adalah salah satu bukti kecerdasan akal para pemimpin negara. Siapalah yang mampu memikirkan nasihat yang sangat tinggi aras pemikiran sebegitu kalau bukan para menteri dan orang kenamaan yang kita bayar gaji mereka saban masa?

Rakyat biasa tidak sempat memikirkan nasihat begitu kerana semuanya sedang bergelut untuk mengisi perut anak dan isteri.

Akhirnya apa yang berlaku itu membuktikan teori berkerajaan oleh PAS adalah benar. Tidak ada yang tidak benar kecuali benar belaka. Ya, itulah teori agung yang dilaksanakan parti tersebut iaitu "minoriti kontrol majoriti."

Kita sedang hidup di bawah teduhan bayang-bayang teori itulah. Alangkah bertuahnya kita.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berharap tidak akan pernah menaiki ambulans.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS