Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki mati dalam lokap di IPD Bintulu akibat arteri koronari - Polis
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 9:59 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Bedah siasat yang dijalankan terhadap seorang lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Bintulu pada 5 Mac lalu mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 48 tahun itu meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari.

"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Umum Kuching pada 8 Mac. Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah (pada si mati).

"Punca kematian adalah penyakit arteri koronari. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Terdahulu, Allahyarham ditahan di IPD Bintulu atas kesalahan berkaitan dadah dan imigresen.

Portal Free Malaysia Today melaporkan lelaki itu mengadu sesak nafas dan dihantar untuk rawatan lanjut di hospital umum Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia.

Kali terakhir kematian dalam tahanan dilaporkan berlaku pada 26 Feb, melibatkan seorang warga Myanmar yang meninggal dunia di Kelantan. Dia didakwa meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Lelaki itu ditahan di balai polis Jeram Perdah di Pasir Mas atas kesalahan berkaitan imigresen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS