Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 188 kes baru dalam kategori 3 hingga 5

Hanya 188 daripada 26,856 kes baru Covid-19 dilaporkan semalam (7 Mac) melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham memaklumkan baki 26,668 kes baru pula terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 negara berjumlah 3,649,463 manakala 30,726 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,311,854.

“Daripada 188 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima itu, 63 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 80 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 45 kes telah menerima dos penggalak, 103 kes melibatkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, 83 kes mempunyai komorbid dan tiga kes ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 negara, hari ini.

Sementara itu, 725 kes atau 38.8 peratus daripada 1,869 kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam melibatkan kategori tiga hingga lima manakala 1,144 kes atau 61.2 peratus adalah kategori satu dan dua.

Dr Noor Hisham berkata 368 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam dengan 223 kes memerlukan bantuan pernafasan, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan ventilator pada tahap 25 peratus.

Dalam pada itu, tujuh negeri menunjukkan pengisian katil kes kritikal atau ICU melebihi 50 peratus iaitu Kelantan (73 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Johor (61 peratus), Selangor (60 peratus), Perak (53 peratus) dan Labuan (57 peratus).

Bagi nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19, beliau berkata ia kini 1.05 dengan Sarawak tertinggi (1.31) diikuti Perak (1.21), Kuala Lumpur (1.20) dan Terengganu (1.17).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS