story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir kilat di KL berpunca dari hujan lebat luar biasa
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 9:16 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Hujan lebat luar biasa - itu punca berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi di Kuala Lumpur semalam, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, hujan lebat tersebut berlaku berterusan selama dua jam dan ia menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran air dalam kapasiti tinggi.

Katanya hujan lebat itu berlangsung dari jam 2.30 petang dan bacaan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart (106.5mm) dan Stesen Air Panas (155mm).

"Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada aras bahaya dengan bacaan 31.99mm manakala bacaan Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing berpada pada paras 30.38mm dan 30.12mm," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah timbalan presiden PAS itu lagi dianggarkan 103 rumah di sekitar Kampung Periuk dan Kamping Pasir Baru terjejas.

Katanya semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Lencongan Terowong Smart diaktifkan kepada mod 2B pada jam 3.40 petang, mod 2 pada 3.58 petang dan seterusnya mod 3 pada jam 4.44 petang," katanya lagi.

Bagi mengurangkan risiko banjir, kata Tuan Ibrahim, JPS Wilayah Persekutuan sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpu.

Ia katanya lagi termasuklan Kolam Takungan Batu.

Kata Tuan Ibrahim orang ramai diseru sentiasa berhati-hati dan peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

"Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS