mk-logo
Berita
Permohonan peguam dapat kebenaran rayu kesahan pengampunan Anwar pada 22 Mac
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 22 Mac ini untuk mendengar permohonan seorang peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan rayuannya dalam usaha mengembalikan semula samannya yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwat.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz serta peguam J Leela yang mewakili Anwar semasa dihubungi mengesahkan Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan itu pada tarikh tersebut.

Pengurusan kes itu berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahyun Yusof hari ini.

Dalam kes sivil, litigan mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 21 Sept tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh Mohd Khairul.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Datuk Lee Heng Cheong memutuskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.

Pada 21 Sept 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu yang menyebabkan mereka merayu di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memutuskan Mohd Khairul Azam, mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) bagi memulakan saman itu kerana beliau adalah ahli masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam selain ada isu-isu yang boleh dibicarakan yang perlu didengar sepenuhnya.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Feb 2020, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS