mk-logo
Berita
Isu pembalakan hutan: Maklum balas menteri mengelirukan, kata MP
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 5:15 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack membidas maklum balas oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan mengenai dakwaan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kuala Laka, Bentong.

“Saya berpendapat maklum balas yang diberikan adalah mengelirukan dan manipulatif.

“Apa yang dipanggil jalan sedia ada adalah laluan kecil yang dibina pada tahun 1970an.

“Sejak lima puluh tahun lalu, hutan telah tumbuh semula dan pulih, dengan kayu bersaiz baik. Tetapi kini, jalan yang diluluskan sekarang telah dijentolak seperti lebuh raya yang membentang dianggarkan sepanjang 7km.

“Pada masa ini, hutan yang sihat itu sedang ditebang. Sudah tentu bukan ‘sisa balak’,” kata Wong pada satu kenyataan hari ini.

Dalam jawapan parlimen bertarikh 3 Mac, Takiyuddin berkata jalan di hutan simpan Kuala Raka itu adalah jalan sedia ada sejak 1970an.

Katanya, Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan permit jalan untuk menggunakan jalan sedia ada di hutan simpan Kuala Raka untuk membersihkan baki kayu daripada tanah kerajaan bersebelahan dengan rizab itu.

Menteri itu menambah permit jalan yang diberikan untuk jalan sedia ada dikeluarkan bagi mengelak kawasan lain hutan dibersihkan untuk membina jalan baru.

Wong menempelak jawapan menteri itu sebagai "karut" kerana hutan di tanah kerajaan itu terletak betul-betul bersebelahan dengan kawasan perumahan dengan akses jalan sedia ada.

“Ini benar-benar karut. Tanah milik kerajaan yang telah dibalak terletak betul-betul bersebelahan dengan kawasan perumahan dengan jalan masuk sedia ada kurang 100 meter dari jalan utama.

"Tidak ada sebab untuk membenarkan jalan sepanjang 7km selebar lebuh raya dijentolak melalui cerun curam di kawasan hutan hutan simpan," kata Wong.

Kerajaan negeri Pahang menafikan wujudnya kegiatan pembalakan di hutan Bentong.

Ketika Malaysiakini sebelum ini melawat Hutan Simpan Kuala Raka bersama Wong, sebuah papan kenyataan memaklumkan pemaju sedang membersihkan kawasan itu untuk membina projek rumah mampu milik.

Jalan itu membentang sejauh 4.6km dan membelah Bukit Raka dari kawasan barat ke timur. Ia menghubungkan ke Lebuhraya Central Spine Road (CSR)

Menuju ke arah barat di sepanjang jalan ini, Malaysiakini dan pasukan Wong menemui tapak pembalakan di belakang Taman Shahbandar Height.

Wong diberitahu bahawa semua prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan telah dipatuhi dan kerajaan negeri akan membina rumah PR1MA di kawasan itu.

Wong menggesa kerajaan negeri Pahang bersikap telus mengenai status projek itu.

“Kerajaan negeri Pahang mesti menjelaskan mengapa projek perumahan PR1MA boleh diluluskan di kawasan yang sangat sensitif alam sekitar dengan cerun curam?

“Mengapa sebidang tanah ini tidak dapat dielakkan sedangkan kita tahu apa-apa hakisan dan aliran lumpur akan masuk ke perbandaran yang terletak tidak jauh dari situ?

“Rakyat ingin tahu bila ia diluluskan, tunjukkan kepada kami semua dokumen kelulusan dan beritahu kami di peringkat mana projek ini sekarang,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS