Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM: Tiada tindakan terhadap pertemuan rahsia MP sebab tiada laporan
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengambil tindakan terhadap tiga pertemuan yang diadakan ahli parlimen kerajaan ketika sekatan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), atau 'total lockdown', kerana tiada laporan dibuat.

“Oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan sekiranya telah berlaku pelanggaran mana-mana SOP berhubung perkara ini,” kata KKM dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 2 Mac lalu.

Lim merujuk tiga pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur - di sebuah banglo dekat Jalan Bellamy pada 2 Julai 2021 dan di Wisma Perwira pada 5 Julai 2021 dan 1 Ogos 2021.

Ketika itu, Lembah Klang di bawah “total lockdown” sejak 1 Jun, yang antara lain melarang pertemuan secara fizikal.

Malah Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberikan amaran berhubung perkara itu pada 6 Julai 2021.

Darurat sedang dikuatkuasakan pada masa itu, yang membolehkan denda sehingga RM10,000 kepada pelanggaran SOP Covid-19.

Ketika itu, sekumpulan ahli parlimen Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, dalam usaha menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada jawatan perdana menteri.

Malaysiakini melaporkan pertemuan pertama ahli parlimen di Jalan Bellamy. Ia disahkan ketua Umno Johor Bahru Shahrir Samad.

Sementara itu, pertemuan ahli parlimen BN di Wisma Perwira pada 5 Julai dilaporkan pelbagai media, manakala pertemuan pada 1 Ogos disahkan oleh beberapa sumber.

Ketika pertemuan kedua dan ketiga, Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu menteri pertahanan dan timbalan perdana menteri, turut hadir.

Dia akhirnya dilantik menjadi perdana menteri pada 20 Ogos - beberapa minggu selepas tiga pertemuan itu.

Wisma Putera dan banglo dekat Jalan Bellamy tersebut adalah milik Kementerian Pertahanan. Tidak jelas sama ada pertemuan 2 Julai juga diadakan di banglo itu.

Dalam jawapan bertulisnya, KKM menegaskan pihaknya tidak berkompromi dalam pelanggaran SOP Covid-19 “tanpa mengira darjat dan kedudukan”.

Jawapan itu di saat kerajaan sedang berusaha meyakinkan ahli parlimen untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengenakan denda yang lebih berat.

Kerajaan ingin meningkatkan denda maksimum daripada RM1,000 kepada RM10,000 kepada individu dan RM1 juta kepada badan dan syarikat.

Dwistandard di konsert rock

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan tidak boleh dipercayai untuk menguatkuasakan denda pelanggaran SOP yang lebih tinggi.

Dia berkata ini kerana dwistandard yang ditunjukkan dalam kempen PRN Johor yang sedang berlangsung.

“Insiden terbaru dua hari lalu membabitkan orang ramai yang menari secara ganas melibatkan lompat-melompat dan laga-melaga dengan penari lain tanpa penjarakan sosial di konsert muzik rock di Air Hitam, Johor. 

“Konsert muzik rock itu dikaitkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dihadiri oleh menterinya, Annuar Musa.

“Bukan semua rakyat Malaysia biasa kaya seperti menteri yang mampu membayar denda RM10,000 yang dinaikkan dan setiap syarikat boleh bertahan seperti kementerian kerajaan apabila dikenakan denda kompaun RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS