Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRN JOHOR | Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat sangat popular di alam siber dengan kandungan kempen yang disiarkan parti itu di media sosial lebih mencuri perhatian berbanding parti-parti lain walaupun pertama kali pemimpinnya bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

PH menerusi Amanah dan DAP sebelum ini menyerahkan enam kerusi untuk ditandingi Muda pada PRN Johor.

Pada minggu pertama kempen, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilihat membantu Muda memandangkan calon-calon parti itu sendiri tidak dikenali sebahagian penyokong PH.

Ini jelas dilihat semasa calon Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz menyantuni pengundi di Taman Pelangi Indah pada hari ketiga kempen, di mana dia ditemani bekas ahli majlis Yong Peng dari DAP, Koh Chia Heng.

Taman Pelangi Indah merupakan kawasan majoriti Cina.

Koh mula mendekati pengunjung yang bersarapan di sebuah kopitiam dan memulakan perbualan dalam bahasa Mandarin, sebelum Amira memperkenalkan diri serta mengedarkan kad nama yang tertera logo Muda.

Segelintir pengundi di kawasan itu, khususnya warga emas, berasa hairan namun Koh menjelaskan bahawa undi untuk Amira dan Muda bermaksa mengundi untuk PH.

Puteri Wangsa merupakan kerusi campuran dengan majoritinya Cina, iaitu 50 peratus daripada populasi penduduk. Sebanyak 39 peratus lagi terdiri daripada kaum Melayu dan 10 peratus India.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini mengatakan mereka tidak mengenali Muda tetapi majoriti mereka mengenali presidennya iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini menunjukkan bantuan PH amat penting bagi kempen parti itu.

Pemimpin PKR juga bantu kempen

Malah beberapa pemimpin PKR yang menyatakan rasa kurang senang terhadap Muda berikutan rundingan kerusi sebelum ini turut memberikan sokongan mereka kepada calon Muda.

Amira, yang juga Setiausaha Agung Muda, berkata jadual kempennya di Felda Ulu Tebrau diatur oleh pemimpin PKR di peringkat akar umbi.

“Rakan-rakan PKR di peringkat nasional juga telah memberikan kata-kata semangat kepada saya dan saya amat berterima kasih untuk ini,” katanya.

Selain Puteri Wangsa, Muda turut bertanding di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Bukit Permai dan Larkin.

Larkin adalah satu-satunya kerusi di mana Muda tidak mendapat sokongan PH kerana ia bukan sebahagian daripada enam kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Muda bertembung dengan PKR di Larkin.

Amanah dan DAP sebelum ini sepakat memberikan sokongan kepada PKR di kerusi itu.

Calon Muda di Larkin, Rashid Abu Bakar, ketika dihubungi, mengakui mereka perlu bergerak sendiri.

Bagaimanapun, Rashid berkata kempennya masih berjalan, walaupun sumber yang dimilikinya terhad berbanding calon Muda yang disokong PH di enam kerusi lain.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS