Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Antara nostalgia, angin perubahan di petempatan Melayu JB

PRN JOHOR | Ketika BN melihat cengkamannya di tempat kelahirannya - Johor - terlepas daripada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Kampung Melayu Majidee di Larkin, Johor, kekal teguh di belakang gabungan tersebut.

Walaupun Larkin akhirnya dirampas Bersatu ekoran gelombang kuat pengundi bukan Melayu menentang BN, majoriti penduduk di Kampung Melayu Majidee tetap setia bersama Umno.

Pada masa itu, Bersatu adalah sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang secara tradisinya mendapat sokongan kuat bukan Melayu. Namun pada PRN 12 Mac ini Bersatu membentuk gabungannya sendiri di bawah panji-panji Perikatan Nasional (PN).

Kelahiran PN itu sendiri adalah memastikan Bersatu mempunyai sokongan Melayu Islam kerana parti itu semakin bimbang dengan kemerosotan dukungan Melayu yang semakin mengecil, khususnya selepas pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

Bersatu di bawah PN mengakui bahawa ia kini tidak mungkin dapat mengharapkan sokongan padu bukan Melayu, justeru menggandakan usahanya di kawasan Melayu dan sekali gus mencabar untuk mengetepikan Umno.

Salah satu kawasan itu ialah Kampung Melayu Majidee dan PN mempertaruhkan calon Bersatu, Zulkifli Bujang, yang secara jujur mengakui ia adalah bertanding di bawah panji PN, mengakui bahawa di situ adalah "kawasan hitam".

Dalam bahasa politik, kawasan hitam adalah lokaliti yang menyaksikan majoriti pengundi memihak kepada parti lawan, manakala kawasan kelabu merujuk kepada situasi peluang 50-50 untuk parti yang bertanding.

Teruja nak lihat Muhyiddin

Zulkifli telah menarik perhatian ramai di Larkin. Dia orang pertama yang hadir apabila ladang komuniti masjid di Kampung Dato' Onn Jaafar dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Dia merupakan bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, dan mengagumi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang disifatkan dipanggil "Abah".

Turut membantu Zulkifli mendapatkan sokongan pengundi ialah Hamzah. Ia sudah cukup untuk menarik perhatian pengundi di kubu tradisi Umno itu.

"Ini kali pertama saya melihatnya (secara peribadi)," kata Nirdah Abdullah yang ingin mengenali Zulkifli semasa sesi bertemu pengundi ketika sarapan di Medan Niaga semalam. Turut hadir menemaninya ialah Muhyiddin.

Zulkifli (kanan) bersama Muhyiddin

Memerhati dari jauh sambil makan sate, suri rumah berusia 62 tahun itu berkata, dia teruja untuk melihat Muhyiddin tetapi tidak berani meredah orang ramai di tengah ancaman Covid-19.

Bagaimanapun, dia meminta bantuan untuk mengambil gambar Muhyiddin. "Jadi saya boleh buat kawan saya cemburu," katanya.

Pengundi di Kampung Melayu Majidee, Nuridah berkata dia kini tinggal di kawasan di Skudai, namun tetap sering pulang ke kawasan itu kerana mempunyai rumah sewa di situ.

Sesuai dengan namanya, kawasan sekitarnya mewakili daerah di tengah Johor Bahru, meliputi dua daripada 25 daerah mengundi di Larkin.

“Kita tahu ini kubu BN. Kenapa saya bawa Tan Sri (Muhyiddin) ke sini?

“Kerana saya percaya terdapat banyak ruang untuk dialog di antara peniaga di sini dan Tan Sri mengenai perubahan yang boleh kita bawa sekiranya PN menang di sini,” kata Zulkifli kepada Malaysiakini.

Janji untuk bantu

Tidak asing dengan penglibatan awam dan latar belakangnya sebagai wartawan, Zulkifli menunjukkan bahawa penampilan Muhyiddin adalah sebahagian daripada percubaan PN untuk menembusi satu daripada beberapa kubu Umno yang ada di Larkin.

Zulkifli, Muhyiddin dan jentera kempen PN meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk mengunjungi lebih 100 gerai di medan selera berkenaan sebelum bersarapan bersama wakil persatuan peniaga tempatan.

“Dalam Ikhtiar PN (manifesto) yang dilancarkan baru-baru ini, kami menawarkan untuk membantu peniaga kecil mengekalkan perniagaan mereka.

"Antara lain, pengecualian daripada membayar lesen selama lima tahun. Kami berjanji ini untuk membantu mereka terus dapat berniaga dan berharapkan keadaan kembali pulih," kata Zulkifli.

Umno bagaimanapun tidak berdiam diri dan giat berusaha untuk melemahkan Bersatu yang juga parti serpihannya.

Pada 2018 kerusi Larkin dimenangi Bersatu - yang bersama PH - melalui calon mereka, Mohd Izhar Ahmad. Namun dia sudah meninggalkan Bersatu pada Jan atas alasan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin. Dia kemudian mengisytiharkan sokongan kepada Umno-BN.

Pada PRU ke-14 lalu juga hanya enam daripada 25 daerah mengundi di Larkin menyaksikan lebih 50 peratus pengundi menyokong BN. Untuk rekod ketika itu sentimen orang ramai terhadap skandal 1MDB sedang memuncak.

Pengaruh bekas ahli parlimen

Tetapi BN beranggapan ramai pengundi akan kembali menyokong mereka kerana semangat yang ada pada 2018 sudah kian pudar berdasarkan kepada fokus mereka kepada 1MDB.

Tambahan pula BN yakin pengundi kini kecewa terhadap pembangkang.

Di beberapa bahagian di Kampung Melayu Majidee, pengaruh veteran Umno, Shahrir Samad, masih kuat. Shahrir merupakan ahli parlimen Johor Bahru selama tujuh penggal sejak 1978.

Dia juga pernah memenangi kerusi berkenaan atas kapasiti calon bebas pada 1988 di sebalik sikapnya menentang Umno yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Shahrir hanya mengalami kekalahan pertamanya pada 2018.

Selain Larkin, satu lagi kawasan DUN di bawah parlimen Johor Bahru ialah Stulang.

Shahrir Samad

Pembinaan bangunan Medan Niaga bagi menggantikan pasar asal Kampung Melayu Majidee dimulakan pada 2012 oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak melalui kelulusan peruntukan RM20 juta. Ia dikatakan dibuat atas permintaan Shahrir.

Tetapi wajah Kampung Melayu Majidee telah berubah secara beransur-ansur selama beberapa dekad, dengan generasi muda berpindah, meninggalkan pengundi yang semakin berusia terus menetap di situ.

Kamaruddin Ishak, seorang pengundi tempatan berusia 50-an berkata, terdapat sedikit pembangunan di kawasan tempat dia dibesarkan.

"Tiada banyak di sini. Hanya bangunan ini (Medan Niaga) yang terbaru di sini," katanya.

Tak pernah abaikan

Kamaruddin berkata kerana kekurangan peluang pekerjaan untuk golongan muda, justeru kebanyakan mereka memutuskan untuk bekerja di Singapura.

Selain PN, turut berhajat untuk menawan hati pengundi di situ ialah PKR yang bekerja keras untuk menamatkan penguasaan BN.

Beberapa pengundi tempatan memberitahu Malaysiakini Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dari PKR juga mempunyai kedudukan yang kukuh di kawasan itu selepas dia mengalahkan Shahri pada 2018.

Bercakap kepada Malaysiakini, Akmal berkata PH telah mencapai kemajuan di kubu kuat Umno apabila daripada hanya memenangi 10 peratus undi pada 2013 sebelum meningkat beransur-ansur kepada lebih 30 peratus pada 2018.

Akmal Nasir

Kira-kira 10 peratus lagi penduduk di situ mengundi PAS pada 2018.

Bagaimanapun, perlu diingat, pencapaian itu pada 2018 berlangsung ketika Bersatu menjadi sebahagian daripada PH.

Akmal berkata calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain, juga telah turun padang, menyasarkan kumpulan tertentu termasuk peniaga pasar di Medan Niaga yang tidak berpuas hati dengan kadar sewa yang lebih tinggi tetapi pengunjung yang kurang ke bangunan baru siap pada 2018.

"Walaupun kami tidak menang di daerah mengundi ini, mereka tahu kami tidak pernah mengabaikan mereka," katanya sambil menambah kawasan itu telah beralih daripada hitam kepada kelabu dari segi sokongan yang dijangkakan.

Perubahan wajah Kampung Melayu Majidee adalah pedang bermata dua bagi BN. Walaupun pengundi muda mungkin tidak lagi merasai nostalgia zaman kegemilangan BN, gabungan itu masih boleh muncul sebagai pemenang jika mereka tidak kembali mengundi.

Tidak berputus asa

BN secara tradisinya mendapat manfaat daripada pengundi yang lebih tua, memandangkan hampir 70 peratus pengundi saluran satu di daerah mengundi Kampung Melayu Majidee I dan II menyertai BN pada 2018 walaupun purata keseluruhannya melebihi 50 peratus.

Lazimnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyalurkan pengundi yang tua ke saluran satu dan dua yang menyediakan kemudahan mesra warga emas, manakala pengundi lebih muda diarahkan ke saluran tiga, empat dan seterusnya.

Langkah itu juga membantu pihak yang berkenaan mendapat gambaran terhadap kecenderungan pengundi yang lebih tua dan muda.

Secara mudah keadaan PRN Johor ini akan dicorakkan oleh jumlah peratusan orang yang keluar mengundi yang akan memberikan kesan kepada setiap parti yang bertanding.

Pandemik semasa boleh menguntungkan BN tetapi faktor pengimbang adalah 20,000 pengundi baru di Larkin yang disenaraikan secara automatik ekoran pindaan perlembagaan yang diluluskan di bawah kerajaan PH.

Keadaan semasa menunjukkan berlaku peningkatan sekitar 35 peratus pengundi - daripada 56,289 orang kepada 76,079 orang. Namun tidak dapat dipastikan adakah mereka semua akan sanggup keluar mengundi pada 12 Mac ini.

Tetapi PKR dan PN tetap tidak berputus asa. Kedua-dua parti terbabit juga aktif berkempen di luar Kampung Melayu Majidee.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim tampil berkempen untuk Zamil pada ceramah di Larkin, manakala Zulkifli - bersama Hamzah dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiande - terus mendekati peniaga kecil di Bulat-Bulat Corner, tempat lepak makanan popular di Larkin.

Selain Zulkifli dari PN dan Zamil dari PKR, kerusi Larkin turut diidamkan empat calon lain iaitu Mohd Hairi Mad Shah (BN), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Rasid Abu Bakar (Muda) dan Norramadan Buan (bebas).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS