Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Pengundi Johor beri maklum balas mahu pengeluaran KWSP
Diterbitkan:  Mar 6, 2022 6:27 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

PRN JOHOR | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui rakyat mahu kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas mendapatkan maklum balas ketika kempen pilihan raya negeri.

Ini walaupun pemimpin DAP itu pernah mengkritik langkah sedemikian, dengan alasan menjadi kewajipan kerajaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat semasa kesusahan dan bukan meminta mereka mengeluarkan simpanan persaraan mereka.

Katanya, pengeluaran KWSP antara enam isu utama yang disuarakan pengundi Johor.

"Dengan kenaikan harga tetapi gaji tidak naik, ramai yang tidak dapat menampung kehidupan mereka.

"Kerajaan sepatutnya membenarkan orang ramai mengeluarkan caruman KWSP mereka jika tidak sebanyak RM10,000, mungkin sekurang-kurangnya RM5,000 untuk membolehkan mereka memenuhi obligasi kewangan mereka," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Di tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang bermula pada 2020, kerajaan telah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP mereka sebanyak tiga kali.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang tidak berparti tetapi dilihat rapat dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, telah memberi amaran bahawa pengeluaran selanjutnya akan menyaksikan ramai orang bersara tanpa simpanan mencukupi.

Parti politik utama, khususnya Umno, telah mendesak dasar populis ini dan kini menggesa pusingan keempat pengeluaran wang KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan berharap tidak akan ada lagi pengeluaran selepas ini.

"Kita faham apabila kita terima desakan.

“Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta (Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991) adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua," katanya.

KWSP pada 2 Mac mengumumkan dividen sebanyak 6.1 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah pada 2021.

Sementara itu, Lim berkata kebimbangan pengundi Johor lain termasuk inflasi, kenaikan tarif elektrik, dan pengenaan cukai pendapatan ke atas rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura walaupun mereka sudah membayar cukai di negara itu.

Kenaikan tarif elektrik dan cukai pendapatan telah dilaksanakan untuk perniagaan tetapi ditangguhkan untuk individu.

"Inflasi dan kenaikan harga makanan, komoditi asas, bahan dan kos perniagaan yang hanya akan diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan harga minyak meningkat kepada lebih daripada AS$115 setong.

"Bagi mengawal kenaikan harga, DAP telah mencadangkan Dana Penstabilan Harga dengan dana benih permulaan sebanyak RM3 bilion yang diperolehi daripada Cukai Makmur atau cukai durian runtuh yang diperkenalkan tahun ini.

"Malangnya, baik BN mahupun PN tidak memberi sebarang tindak balas terhadap solusi yang dicadangkan ini," katanya lagi.

Lim berkata kenaikan harga barang tidak selari dengan peningkatan gaji dan ramai yang tidak dapat menampung kehidupan.

Jelasnya, rakyat Johor juga mahu melihat pembukaan semula segera sempadan dengan Singapura bagi membolehkan pemulihan ekonomi.

Menurut Lim, mereka juga bimbang dengan rancangan untuk menaikkan denda prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan sehingga RM1 juta untuk perniagaan.

Semakan denda melalui pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalannya menguruskan wabak Covid-19 dan tidak menyalahkan rakyat dengan meningkatkan hukuman dan denda kompaun," katanya.

PRN Johor diadakan di tengah-tengah pandemik Covid-19 dengan kempen bermula pada 26 Feb dan hari pengundian 12 Mac depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS