Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengusaha bas ekspres mohon k'jaan izin naikkan tambang

Kerajaan disaran supaya menaikkan harga tiket untuk perkhidmatan bas ekspres susulan kenaikan kos penyelenggaraan yang dihadapi pengusaha syarikat pengangkutan awam.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail, berkata kenaikan melambung harga barangan penyelenggaraan dan bahan api antara punca utama mereka terbeban teruk ketika ini.

"Banyak barang berkaitan sektor ini berdepan kenaikan harga tetapi harga tiket masih pada kadar lama sejak lima tahun lalu sedangkan sumber utama ekonomi perkhidmatan ini berdasarkan hasil jualan tiket," katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Tambah Laili, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu menyebabkan industri pengangkutan bas ekspres berdepan krisis kos tidak seimbang.

Keadaan itu, jelasnya, dijangka berpanjangan sekiranya ia tidak mendapat perhatian pihak kerajaan.

"Justeru Pembawa merayu agar kerajaan mengkaji semula harga tiket selaras dengan keadaan semasa bagi mengatasi krisis tersebut sekarang ini," ujarnya.

Dalam perkembangan itu Laili berkata, masih terdapat pengusaha bas ekspres belum dapat beroperasi sepenuhnya seperti sebelum ini walaupun aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan.

"Beroperasi semula pun dalam skala yang kecil saja kerana kami terpaksa kurangkan kekerapan perjalanan ke semua destinasi berikutan penerimaan pengguna terhadap pengangkutan ini sangat berkurangan.

"Contohnya, kalau sebelum ini kami ada lima trip sehari ke sesuatu destinasi tetapi sekarang terpaksa dikurangkan menjadi tiga. Dan tiga itupun kadang-kadang tidak penuh," katanya.

Malah tambah Laili ada juga syarikat bas ekspres tidak boleh meneruskan operasinya sama sekali disebabkan masalah kewangan.

"Bagi meneruskan semula operasi syarikat-syarikat terbabit memerlukan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan sesebuah bas yang sudah lama tersadai.

“Sebelum meneruskan semula operasi kami mesti pastikan keadaan bas berada dalam baik demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan untuk penyelenggaraan sebuah bas sebelum beroperasi semula.

"Banyak komponan yang mesti kami periksa balik terutamanya minyak hitam, sistem brek dan tayar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS