mk-logo
Berita
Makan malam, tarian seksi: Khairuddin tuntut permohonan maaf
Diterbitkan:  Mar 6, 2022 1:41 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Seorang ahli parlimen PAS mendesak pihak yang terlibat dalam makan malam bersama 'hidangan' tari-menari mencolok mata kepada pimpinan Perikatan Nasional agar tampil memohon maaf.

Kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali, majlis seumpama itu memang tidak selayaknya dijadikan hidangan kepada pemimpin politik bergama Islam.

Dia yang tergugur daripada jawatan sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS menambah, majlis seumpama itu juga bercanggah dengan nilai ketimuran dan masyarakat Malaysia.

"Pada saat rakyat berhadapan dengan musibah dan rakyat diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat.

"Perlu segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik pada saat kempen pilihan raya sedang hangat," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) disajikan dengan persembahan tarian yang meriah pada majlis makan malam yang menyaksikan kira-kira 800 orang hadir.

Majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di Johor Bahru itu turut menyaksikan kehadiran ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat Cina.

Antaa tetamu kehormat ialah Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Untuk rekod PAS adalah satu daripada parti komponen PN.

Khairuddin menegaskan, walaupun sedar kenyataan dibuatnya itu sesuatu yang pahit namun teguran tetap perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip berkaitan Islam dalam PN dapat dijelaskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS