Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN, BN bersaing 'nak dapat nama' atas kejayaan vaksin

Dengan majoriti penduduk yang menerima vaksin Covid-19 dan negara menunjukkan daya tahan yang lebih baik dalam menghadapi gelombang jangkitan terkini, kedua-dua gabungan kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN) dan BN kini bersaing untuk mendapat nama.

Pemimpin PN dalam beberapa acara kempen pilihan raya Johor, sering bertanya jika para hadirin telah divaksin dan kemudian memuji keputusan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk membeli stok besar vaksin Covid-19 semasa dia menjadi perdana menteri.

Sepanduk PN yang mengisytiharkan vaksin Covid-19 percuma untuk rakyat turut naik, diiringi logo gabungan itu di Johor.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang menyertai kempen Johor untuk BN hari ini, menegaskan ia bukan sumbangan eksklusif PN.

"Itu adalah program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adakah program di bawah kerajaan persekutuan.

"Kerajaan persekutuan ini kerajaan dibentuk oleh BN, PN, GPS jadi ia adalah satu program untuk semua terlibat dalam kerajaan.

"Saya rasa tak perlukan kita jadikan sebagai bahan kempen pilihan raya," katanya kepada pemberita di pusat operasi pilihan raya DUN di kawasan parlimen Iskandar Puteri, di Johor Bahru, hari ini.

Tambahnya, sekiranya PN mahu meraih penghargaan atas kejayaan itu, maka begitu juga parti lain dalam kerajaan sekarang.

"Mereka boleh tuntut kredit kata sebagai wakil sebagai kerajaan, tapi sama juga kalau BN nak buat benda sama, kalau GPS nak buat perkara sama boleh juga.

"Siapa yang ada dalam kerajaan merekalah bertanggungjawab dalam program PICK," katanya.

Muhyiddin semasa makan malam bersama masyarakat Cina di Johor Bahru semalam memberitahu bahawa keputusannya untuk membeli setiap jenama vaksin Covid-19 yang mungkin pada peringkat awal bagi memastikan stok mencukupi.

"Hari ini saya fikir dalam dewan ini 100 peratus semua dah dapat vaksin dua kali. Itu saya bagi itu.

"Saya sokong awak, kamu sokong saya, ini pilihan raya Johor ini. PN bertanding, kamu patut bagi sokongan kepada kita," kata Muhyiddin sebelum ini.

Lawatan kerja menteri kesihatan

Gelombang Omicron telah menyebabkan kes baru Covid-19 harian meningkat ke paras tertinggi.

Walaupun kematian setiap hari juga meningkat, simptomnya kurang teruk berbanding semasa gelombang Delta tahun lalu kerana kebanyakan negara kini telah divaksinasi terhadap Covid-19.

Terdahulu, Khairy yang sekali lagi dalam lawatan kerja ke Johor selepas lawatan pertama pada 27 Feb, mengunjungi klinik kesihatan Gelang Patah dan membawa bersamanya calon.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bertegas untuk tidak memakai sebarang pakaian berkaitan BN walaupun penyokong mereka yang hadir terus memakai pakaian berlogo BN.

Khairy mempertahankan membawa calon BN Pandak Ahmad (gambar, atas) bersama-sama, yang berdepan lima lagi calon iaitu Samsudin Ismail dari PN, wakil Pejuang Zaini Abu Bakar, R Arkannal dari dan penyandang DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad dari PH.

"Saya dalam rangka lawatan kerja. Saya menteri dan mereka sebagai pemimpin tempatan - Pandak adalah ahli majlis tempatan dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri... mahu saya datang melawat klinik.

"Tiada kempen di sini. Saya tidak mengumumkan apa-apa atau sebarang projek baru. Cuma secara kebetulan pemimpin di sini adalah bekas ahli majlis tempatan dan mahu saya berjumpa klinik.

“Dan pihak klinik mengalu-alukan saya sebagai menteri,” katanya.

Dia menghabiskan kira-kira 30 minit di klinik mendengar kebimbangan kakitangan, termasuk isu berkaitan kekurangan peralatan.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 24 Feb. Hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS