Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Liew: Lambat buka sempadan ke S'pura nak sekat pengundi balik?

PRN JOHOR | Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong bimbang jika kelewatan membuka semula sempadan negara dengan Singapura bertujuan untuk menyekat undi pada pilihan raya negeri akan datang.

Dia berkata Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, telah mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, tarikh itu datang dan pergi tanpa sebarang tindakan daripada kerajaan persekutuan yang diterajui BN.

“Ia telah diperkatakan oleh MPN yang mula-mula mencadangkan ia dibuka semula pada 1 Jan dan kemudian pada 1 Mac, yang disyorkan oleh Muhyiddin.

"Daripada apa yang saya dengar, ia kerana pilihan raya negeri - maka (pembukaan sempadan) telah ditangguhkan," kata Liew.

Kedua-dua Pakatan Harapan dan PN telah mendesak kerajaan untuk membuka semula sempadan kerana kebanyakan penduduk negara kini telah divaksinasi terhadap Covid-19.

Mereka berhujah ekonomi Johor selatan dan Singapura saling berkait dan orang ramai menghadapi kesukaran ekonomi dengan sekatan perjalanan yang sukar selama lebih dua tahun.

"Saya mengesyaki ia ada kaitan dengan pilihan raya dengan Umno tidak mahu melihat orang ramai balik untuk mengundi," kata Liew kepada wartawan selepas lawatan berjalan kaki di Taman Bukit Indah di DUN Perling, tempat dia bertanding.

BN secara tradisinya mendapat manfaat apabila peratusan keluar mengundi rendah.

Pada pilihan raya Melaka November lalu, BN menang besar. Peratusan keluar mengundi adalah 65.85 peratus berbanding peratusan keluar mengundi sebanyak 84.52 peratus pada 2018.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, yang juga bekas menteri pengangkutan, berkata kabinet sekarang tidak proaktif dalam menerajui pembukaan semula sempadan dengan Singapura.

"Saya pasti Singapura juga menghadapi isu serupa. Kerajaan Singapura juga mahu membuka sempadan mereka dengan segera kerana mereka tahu Johor Bahru dan Singapura sangat bersepadu.

"Menutup sempadan bukan satu pilihan untuk jangka masa panjang... Tetapi sudah tentu, untuk membuka semula sempadan anda memerlukan banyak syarat dan keperluan untuk menggunakan kaedah yang selamat.

"Pihak kami tidak mengambil langkah proaktif yang mencukupi untuk mendekati pihak Singapura," kata Loke.

Sebaliknya, Loke berkata para menteri kelihatan sibuk berpolitik di tengah-tengah ketegangan antara BN dan PN.

BN dan PN menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, tetapi BN yang bangkit kembali cuba untuk menolak PN daripada tampuk kuasa.

BN secara sepihak mencetuskan pilihan raya negeri Johor dalam usaha gabungan itu mendapat mandat sendiri supaya ia boleh mentadbir negeri tanpa penglibatan PN.

Rakyat Johor dijangka keluar mengundi pada 12 Mac.

Johor mempunyai ramai penduduk yang bekerja di Singapura.

Sebelum wabak itu, dianggarkan 350,000 rakyat Malaysia menyeberangi tambak Johor-Singapura setiap hari untuk bekerja.

Berikutan sekatan sempadan yang ketat yang diperkenalkan akibat pandemik Covid-19, ramai yang sama ada berusaha untuk berpengkalan di Singapura atau mencari pekerjaan baru di Malaysia.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS