Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee 'umpan' Lim debat lepas Teo sahut cabarannya
Diterbitkan:  Mar 4, 2022 11:14 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Perbalahan antara MCA dan DAP berterusan sebelum kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor bermula, selepas Presiden MCA Wee Ka Siong mencabar Ahli Parlimen Kulai DAP Teo Nie Ching, yang merupakan bekas timbalan menteri pendidikan, untuk berdebat.

Wee mengeluarkan cabaran itu semasa majlis makan malam ulang tahun MCA di Yong Peng, Johor pada 25 Feb dan Teo serta-merta menerimanya, menyatakan bahawa dia dengan senang hati akan berdebat dengan Wee yang mencadangkan topik mengenai pendidikan Cina.

Bagaimanapun, Wee bertindak balas terhadap Teo dengan mengalihkan perhatiannya kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Wee kini meminta Teo membawa Lim bersama untuk perbahasan.

“Saya ingin memberitahu Teo Nie Ching yang tidak sabar-sabar untuk berdebat dengan saya bahawa tidak ada masalah untuk dia menyertai debat itu selagi Lim Guan Eng bersetuju untuk berdebat dengan saya dahulu.

"Selepas saya berdebat dengan Lim Guan Eng, saya akan memperuntukkan 20 minit untuk berdebat dengannya," kata Wee dalam catatan Facebook.

Wee, yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, menjelaskan langkah itu sebagai strategi untuk menarik perhatian setiausaha agung DAP itu.

MCA juga telah menyediakan poster mengumumkan perbahasan antara Wee dan Lim pada 6 Mac di Johor Bahru walaupun ahli parlimen Bagan itu masih belum menjawab perkara berkenaan.

Wee turut berkongsi gambar dewan yang ditempah untuk debat dengan wajah Wee dan Lim di setiap sisi pentas.

"Kami akan menyediakan dua kerusi - satu untuk Lim dan satu di belakang Lim untuk Teo. Teo boleh sokong Lim. DAP akan diberi kelebihan kerana mereka akan mempunyai dua pemimpin," kata Wee.

Bagaimanapun, Teo nampaknya cuba mengalihkan perhatian semula kepada Wee. Dia menjawab di Facebooknya: "Wee, jumpa anda pada 6 Mac jam 2 petang."

Teo, ketika dihubungi, berkata Wee harus berdebat dengannya terlebih dahulu mengikut cabaran asal dan bukannya cuba mengalih 'tiang gol'.

"Memandangkan dia telah menetapkan tempat dan masa, saya akan berada di sana," kata Teo.

Tidak jelas sama ada Wee akan hadir untuk perbahasan pada hari Ahad memandangkan Guan Eng berkemungkinan secara strategik akan membiarkan Teo terlebih dahulu berdebat dengan Wee.

MCA bergantung pada PRN Johor untuk kebangkitan kerana ia meningkatkan tekanan terhadap DAP yang bergelut dengan kekecewaan penyokong berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

MCA bertanding di 15 kerusi DUN di Johor. Ia gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Kempen untuk PRN Johor bermula pada 26 Feb lalu. Rakyat Johor akan mengundi pada 12 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS